JAKARTA, 31 OGOS – Kerajaan Indonesia hari ini mengumumkan pemotongan beberapa faedah istimewa kewangan ahli Parlimen, susulan gelombang protes berhubung kesusahan ekonomi yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang serta mencetuskan kemarahan terhadap pihak polis.
Negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu dibelenggu demonstrasi di bandar utama sejak beberapa hari lalu, selepas tular rakaman seorang pemandu teksi motosikal maut digilis kenderaan polis ketika perhimpunan menentang elaun lumayan ahli Parlimen.
“Kepimpinan parlimen telah menyampaikan persetujuan untuk membatalkan beberapa dasar, termasuk jumlah elaun wakil rakyat serta mengenakan moratorium lawatan ke luar negara,” kata Presiden Prabowo Subianto tanpa memperincikan jenis elaun yang dipotong.
Bekas jeneral itu menegaskan protes harus berlangsung secara aman, sambil mengingatkan sekiranya terdapat tindakan merosakkan kemudahan awam atau merompak rumah persendirian, negara wajib campur tangan untuk melindungi rakyat.
“Hak perhimpunan secara aman perlu dihormati dan dilindungi. Namun kita tidak boleh menafikan terdapat tanda-tanda tindakan yang melanggar undang-undang, malah ada yang cenderung ke arah pengkhianatan dan keganasan,” katanya dalam ucapan di Jakarta.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin menegaskan tentera dan polis akan mengambil ‘tindakan tegas’ terhadap ‘perusuh dan perompak’ yang menceroboh rumah persendirian atau institusi negara.
Kenyataan itu dibuat selepas kediaman Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati dilaporkan dirompak malam kelmarin, menurut saksi dan anggota tentera yang mengawal rumah tersebut.
Kemelut turut merebak kepada wakil rakyat lain apabila beberapa rumah ahli parlimen dilaporkan diceroboh dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Sebelum tragedi kematian pemandu teksi motosikal minggu ini, bantahan rakyat tertumpu kepada pendedahan ahli parlimen menerima elaun perumahan hampir 10 kali ganda lebih tinggi daripada gaji minimum di Jakarta. – AFP


