Indonesia rampas kapal tangki bawa sisa minyak

JAKARTA, INDONESIA, 2 SEPT – Tentera laut Indonesia telah merampas sebuah kapal tangki besar yang dipercayai membawa beribu-ribu tan minyak hitam dan membawa kapal itu ke pesisir bagi siasatan lanjut, pegawai-pegawai berkata, hari ini.

MT Zodiac Star berbendera Panama itu dikesan semalam selepas tentera laut menerima maklumat mengenai kapal tangki yang mencurigakan berhampiran pulau Tolop dan mengiringinya kira-kira 22km ke pangkalan tentera laut di Batam, kata Laksamana Muda Arsyad Abdullah, komander armada barat negara itu.

Kapal tangki 3,224 tan itu, dengan kru terdiri daripada 18 warga Indonesia dan seorang warga Malaysia, disyaki menjalankan aktiviti haram selepas ditahan dengan kira-kira 4,600 tan sisa minyak tanpa kebenaran pelabuhan dan dokumen-dokumen sah lain, kata Arsyad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, para penyiasat masih berunding dengan pakar-pakar dan menyoal kapten kapal tangki itu, kru dan saksi-saksi sebelum dapatan diserahkan kepada pejabat pendakwa.

Dakwaan-dakwaan membawa hukuman penjara lima tahun dan denda 600 juta rupiah (AS$42,000), kata beliau. – AP

Gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan tentera laut Indonesia menunjukkan sebuah kapal tentera laut melintasi kapal tangki MT Zodiac Star berbendera Panama yang berlabuh di perairan Pulau Riau. – AP