Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia rampas lebih 1.2 tan dadah, 37 ditahan

    JAKARTA, 4 MAC – Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia merampas lebih 1.2 tan dadah dan menahan 37 individu pada Februari sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan membanteras pengedaran dadah.

    BNN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa dadah yang dirampas termasuk 201.29 kilogram (kg) methamphetamine, 894.33kg ganja dan 115.21kg pil ekstasi, selain 16 kereta, empat motosikal serta sebuah bot tradisional.

    Satu daripada operasi terbesar bulan itu berlaku pada 20 Februari apabila pegawai BNN di Sumatera Utara memintas 433kg ganja yang diseludup dari Aceh ke Medan, dengan empat suspek ditahan.

    Pada 1 Februari di Aceh, anggota BNN memintas bungkusan mengandungi 1kg methamphetamine yang disorok dalam mesin pembersih hampagas yang dijadualkan dihantar ke Palu, Sulawesi Tengah.

    Operasi itu membawa kepada penahanan dua suspek manakala seorang lagi masih bebas, menurut BNN.

    Selain serbuan dadah, agensi itu turut membongkar operasi pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan jenayah dadah, merampas aset bernilai IDR 25 bilion dalam empat siasatan yang dijalankan sejak Oktober 2024.

    “BNN kini sedang menyiasat 12 kes pengubahan wang haram melibatkan 13 suspek, dengan anggaran nilai keseluruhan aset yang dirampas mencecah IDR 100 bilion,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda