JAKARTA, 18 FEB – Indonesia merancang membina 63,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 bagi menampung peningkatan jumlah EV yang dijangka mencecah 943,000 unit pada tahun berkenaan, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral hari ini, lapor Xinhua.
Berdasarkan data syarikat tenaga milik negara PT PLN, ketika ini Indonesia mempunyai 3,233 stesen pengecasan di pelbagai lokasi.
“Pengembangan stesen pengecasan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, mengurangkan pelepasan karbon dan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui,” kata Ketua Pengarah Elektrik kementerian itu, Jisman Hutajulu.
Ketika ini, penggunaan bahan api negara itu secara purata ialah 1.4 juta tong minyak sehari, manakala pengeluaran domestik hanya menyokong kira-kira 600,000 tong.
Penambahan stesen pengecasan EV dijangka dapat menjimatkan sehingga 66,000 tong sehari.
Peningkatan penggunaan EV dan infrastruktur pengecasan juga dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga satu juta tan setahun selain memberi manfaat ekonomi, kata Jisman. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-3CWEB-AFP_19022025.jpg)