JAKARTA, 20 OKT – Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk memulihara 600,000 hektar hutan bakau di negara itu pada 2024, lapor Agensi Berita Antara (Antara) memetik Presiden Joko Widodo (Jokowi), kelmarin.
“Kami akan menetapkan sasaran untuk tempoh tiga tahun ke depan. Kami akan memulihara 600,000 hektar (hutan bakau),” katanya selepas acara menanam pokok bakau bersama duta besar beberapa negara dan penduduk Tana Tidung, Kalimantan Utara menurut laporan itu.
“Jumlah kawasan hutan bakau kami adalah seluas 3.6 juta hektar,” katanya.
Menurut Antara, Jokowi menyebut usaha pemuliharaan sedang dilakukan untuk melindungi kawasan pantai daripada hakisan ombak, pencemaran air laut, dan memelihara spesies habitat termasuk burung, ikan, ketam, monyet serta flora dan fauna lainnya, yang hidup di persekitaran hutan paya bakau.
“Terdapat 180,000 hektar hutan bakau di Kalimantan Utara yang akan kita kaji dengan lebih terperinci, dan akan dipulihara,” tambah Presiden.
Turut sama menanam pokok bakau bersama presiden kelmarin ialah Duta Besar Republik Czech ke Indonesia, Jaroslav Dolecek, dan isterinya; Duta Besar Chile ke Indonesia, Gustavo Nelson Ayares Ossandron; Duta Besar Finland ke Indonesia, Jari Sinkari; Duta Besar Switzerland ke Indonesia, Kurt Kunz; dan Timbalan Duta Besar Brazil ke Indonesia, Daniel Barra Ferreira dan Pengarah negara Bank Dunia Satu Kahkonen.
Turut hadir ialah Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya Bakar, Menteri Setiausaha Kerajaan Negeri Pratikno, Gabenor Kalimantan Utara Zainal Arifin Paliwang, dan Ketua Daerah Tana Tidung Ibrahim Ali. – Bernama