Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia rugi lebih AS$2 bilion setahun akibat perlombongan timah haram

    JAKARTA, 20 OKT – Indonesia kehilangan lebih AS$2 bilion setiap tahun akibat aktiviti perlombongan dan penyeludupan timah secara haram, kata Presiden Prabowo Subianto hari ini.

    Pemimpin Indonesia itu sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa mempertingkatkan penguatkuasaan di pulau-pulau kaya dengan logam berkenaan, yang digunakan dalam pelbagai industri termasuk elektronik dan pembuatan kaca.

    “Masih banyak lombong haram. Kerugian negara amat besar, dianggarkan sebanyak 40 trilion rupiah (AS$2.4 bilion) setahun dan keadaan ini telah berlanjutan hampir 20 tahun,” katanya.

    Prabowo turut memaklumkan pihak tentera kini terlibat dalam operasi bagi mengekang penyeludupan timah haram dari Kepulauan Bangka-Belitung, yang menjadi pusat utama aktiviti tersebut.

    Awal bulan ini, Prabowo melawat Provinsi Kepulauan Bangka-Belitung untuk menyaksikan rampasan aset dari beberapa loji peleburan timah yang terlibat dalam kes rasuah.

    Enam loji peleburan telah disita dalam kes berkenaan dan diserahkan kepada syarikat perlombongan milik kerajaan, PT Timah TBK.

    Prabowo turut berkata demikian semasa sidang media yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, ST Burhanuddin, yang memaklumkan kira-kira AS$800 juta telah dikembalikan kepada perbendaharaan negara oleh syarikat-syarikat minyak kelapa sawit, yang menurut Prabowo merupakan sebahagian dari ‘kerugian besar negara’. – AFP

    Prabowo bercakap semasa penyerahan aset yang diperoleh daripada kes rasuah di bangunan Pejabat Peguam Negara di Jakarta kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda