JAKARTA, 29 OKT – Indonesia dan Rusia akan mengadakan latihan tentera laut bersama pertama mereka bulan depan, kata tentera laut Jakarta hari ini, ketika pemimpin baharu kepulauan Asia Tenggara itu berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Moscow.
Ekonomi terbesar di rantau itu mengekalkan dasar luar yang neutral, enggan memihak dalam konflik Ukraine atau dalam persaingan kuasa besar antara Washington dan Beijing.
Namun Presiden Indonesia yang baru dilantik, Prabowo Subianto telah berjanji untuk menjadi lebih lantang di pentas dunia dan Julai lalu telah melawat Moscow untuk berbincang dengan Vladimir Putin.
Tentera laut Indonesia berkata latihan itu akan diadakan dari 4 hingga 8 November di Laut Jawa berhampiran pangkalan tentera laut di Surabaya.
“Ia adalah latihan dua hala yang penting antara TNI AL dan tentera laut Rusia,” kata tentera laut dalam kenyataan itu.
Rusia akan menghantar tiga buah kapal perang kelas korvet, sebuah kapal tangki sederhana, sebuah helikopter tentera dan sebuah bot tunda, katanya.
Duta Rusia ke Indonesia, Sergey Tolchenov, mengesahkan latihan itu dan berkata ia tidak ditujukan kepada mana-mana kuasa saingan.
“Ia hanya untuk meningkatkan keupayaan dan potensi kedua-dua armada kami,” katanya pada taklimat media kelmarin. – AFP