JAKARTA, 15 NOV – Menteri Alam Sekitar Indonesia, Hanif Faisol Nurofiq menegaskan bahawa meskipun Indonesia komited untuk mencapai matlamat iklimnya, negara itu ingin melakukannya melalui kerjasama yang saling menguntungkan tanpa bergantung kepada bantuan, lapor agensi berita ANTARA.
“Penyertaan Indonesia dalam COP29 (Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-29) kali ini menonjolkan tekad yang kukuh untuk menumpukan pada kerjasama yang saling menguntungkan, bukan untuk bergantung kepada bantuan atau geran,” kata Nurofiq dalam satu kenyataan daripada pejabatnya hari ini.
Beliau menekankan Indonesia telah mengambil langkah tegas dalam merealisasikan sasaran Perjanjian Paris 2015 yang diratifikasi pada 2019.
Pada COP29 di Azerbaijan, Indonesia mengenal pasti 19 inisiatif penting, yang merangkumi 14 aspek rundingan dan lima bentuk kerjasama platform, bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan yang lebih radikal.
Delegasi Indonesia yang menghadiri acara di Baku, Azerbaijan, komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta menggalakkan usaha kelestarian yang lain.
Delegasi itu, yang diketuai oleh Utusan Khas Presiden bagi Perubahan Iklim, Hashim Djojohadikusumo, turut mengadakan pelbagai mesyuarat dua hala dan perbincangan strategik bagi memperkukuh diplomasi serta kerjasama antarabangsa dalam menangani krisis iklim, jelas Nurofiq.
Menteri itu turut menekankan pentingnya kerjasama dua hala yang nyata dalam mengurangkan pelepasan global, termasuk melalui perdagangan karbon yang telus seperti yang dinyatakan dalam Artikel 6 Perjanjian Paris, terutamanya berkaitan perdagangan kredit karbon.
Satu daripada bentuk pelaksanaan sebenar ialah kerjasama antara Indonesia dan Jepun melalui mekanisme Mutual Recognition Arrangement (MRA) dalam kerjasama perdagangan karbon. – Bernama