JAKARTA, 1 SEPT – Indonesia merancang menjadi tuan rumah pusingan rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan menjelang akhir tahun ini, bagi menyegerakan proses yang sedang berjalan, menurut Kementerian Luar.
Selaku Pengerusi ASEAN, Indonesia menjadi tuan rumah rundingan COC antara ASEAN dan China pada Mac, dengan semua pihak turut bersetuju dengan inisiatif negara itu untuk menyegerakan proses rundingan.
“Inisiatif Indonesia dalam bentuk Garis Panduan boleh berperanan sebagai cadangan praktikal yang juga meliputi bahan substantif untuk memastikan keberkesanan COC dan tindakan yang boleh dilaksanakan,” kata Pengarah Kerjasama Politik dan Keselamatan ASEAN, Rolliansyah Soemirat dalam satu kenyataan pada hari ini.
Garis panduan ini meringkaskan aspirasi ASEAN-China untuk memuktamadkan COC dalam tempoh tiga tahun atau kurang melalui perbincangan intensif mengenai isu yang belum selesai dan kaedah kerja lain yang dicadangkan.
“Memandangkan elemen yang rumit dalam COC, pihak terbabit sangat berhati-hati dan oleh itu kemajuan diperlukan untuk mempercepat proses itu,” katanya. – Bernama