Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia sasar tingkatkan jumlah dagangan dengan Arab Saudi

    JAKARTA, 12 FEB – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto menyuarakan keyakinan bahawa jumlah dagangan antara negaranya dan Arab Saudi akan meningkat dengan memanfaatkan hubungan erat kedua-dua negara, lapor ANTARA.

    Beliau menyatakan hasrat itu dalam pertemuan dengan Menteri Ekonomi dan Perancangan Arab Saudi, Faisal F. Alibrahim, di luar Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu kelmarin.

    Menurut kenyataan pejabatnya yang dipetik di sini hari ini, Hartarto berkata Indonesia merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas dengan Majlis Kerjasama Teluk bagi meningkatkan lagi jumlah eksportnya ke Arab Saudi, yang meningkat 11 peratus pada 2024.

    Dalam pertemuan itu, Kerajaan Arab Saudi menyatakan minat untuk memperluaskan kerjasama pelancongan dengan Indonesia, khususnya dengan meneroka potensi pelancongan di Pulau Sumatera.

    Sebagai tindak balas, Hartarto menyambut baik inisiatif itu sambil menekankan kepentingan strategik Arab Saudi kepada Indonesia.

    “Indonesia melihat Arab Saudi sebagai rakan strategik dalam merealisasikan visi Indonesia Emas 2045. Oleh itu, kami amat menghargai peluang untuk memperluaskan ruang lingkup kerjasama dua hala,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa Faisal telah mengucapkan tahniah kepada Indonesia atas penubuhan kerajaan baharu yang dipimpin Presiden Prabowo Subianto.

    Pertemuan di Dubai antara kedua-dua menteri itu kelmarin merupakan kesinambungan perbincangan yang diadakan di Jakarta pada Disember tahun lepas. Di ibu negara Indonesia, Hartarto bertemu dengan Putera Turki Al-Faisal dan Duta Besar Arab Saudi, Faisal Abdullah H. Amodi. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda