JAKARTA, 9 APRIL – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto kelmarin berkata beliau bersedia memberikan perlindungan sementara kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat perang di Gaza antara tentera Israel dan pemerintah wilayah itu Hamas.
Hampir 400,000 penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dalam beberapa minggu sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan di wilayah itu bulan lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kami bersedia menerima mangsa yang cedera,” kata Prabowo sebelum berlepas untuk lawatan Timur Tengah ke Emiriah Arab Bersatu, Turki, Mesir, Qatar dan Jordan.
“Kami bersedia menghantar pesawat untuk mengangkut mereka. Kami menganggarkan jumlahnya mungkin 1,000 untuk gelombang pertama.”
Rakyat Palestin yang cedera dan, “anak-anak yang trauma, yatim piatu” akan diberi keutamaan, katanya.
Beliau telah mengarahkan menteri luarnya untuk berbincang dengan pegawai Palestin dan, “pihak di rantau ini” mengenai cara memindahkan penduduk Gaza yang cedera atau yatim piatu.
Mangsa-mangsa berkenaan hanya akan berada di Indonesia sehingga mereka pulih dan selamat untuk pulang.
Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, secara konsisten menyeru penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin. – AFP
