Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia seimbangkan industri tekstil domestik dengan import China

    JAKARTA, 21 OGOS – Kebanjiran produk China ke Indonesia telah jejaskan produk pengeluar tempatan, mendorong kerajaan mencari jalan untuk menenangkan pengeluar domestik di samping mengelak kemarahan China, rakan dagang terbesar negara itu.

    Pembuat pakaian dari kilang atau perusahaan dari rumah telah merayu bantuan kerajaan kerana mereka telah kehilangan sebahagian pasaran kepada pakaian dan tekstil kos rendah dari China. Ditambah lagi dengan lambakan produk yang dibeli dalam talian.

    Bantahan pekerja di Jakarta mendorong Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan mengumumkan pada Julai bahawa kerajaan akan mengenakan tarif import sehingga 200 peratus ke atas beberapa produk dari China, terutamanya tekstil, pakaian, kasut, elektronik, seramik dan kosmetik, demi melindungi perniagaan tempatan dan mencegah pekerja daripada berhenti.

    Tetapi China ialah rakan dagangan terbesar Indonesia, dengan perdagangan dua hala melebihi AS$127 bilion pada 2023. Mengenakan tarif yang lebih tinggi boleh mendorong pengeluar China untuk melabur lebih banyak di kilang di Indonesia, tetapi juga boleh menjadi langkah yang silap yang boleh menyebabkan Beijing menarik diri dari menjadi rakan. Akibatnya, kerajaan mengumumkan pada Julai bahawa ia sedang menubuhkan pasukan petugas untuk memantau dan menangani masalah berkaitan import tertentu.

    Ia adalah perkara yang mendesak, kata Hasan, memandangkan kebanjiran produk import yang menyebabkan penutupan kilang tekstil dan pemberhentian di Indonesia secara besar-besaran.

    Dari Januari hingga Julai 2024, sekurang-kurangnya 12 kilang tekstil menutup operasi, menyebabkan lebih 12,000 pekerja kehilangan pekerjaan, menurut Konfederasi Kesatuan Sekerja Nusantara.

    Di daerah Bandung di wilayah Jawa Barat Indonesia iaitu kawasan yang terkenal dengan tekstil seperti batik, kain tenunan tangan dan sutera, import produk China telah menyebabkan beribu-ribu pekerja terbiar dan tidak mempunyai pendapatan tetap, kata Neng Wati, seorang pengurus di syarikat pembuatan, Asnur Konveksi.

    “Sekarang mereka bergilir-gilir dalam bekerja. Jumlah pekerja tetap sama, tetapi kerja dibahagikan dan tidak semua dapat bekerja. Ada yang dua minggu cuti, ada juga yang sebulan tidak dapat bekerja,” ujar Wati.

    Pekerja memeriksa produk pakaian di Asnur Konveksi, pengeluar pakaian di Bandung, Indonesia pada 11 Julai. – AP

    Ini adalah satu tamparan keras yang datang selepas perkembangan perlahan pasca pandemik COVID-19, apabila ramai pekerja beralih kepada e-dagang untuk memenuhi keperluan hidup, kata Nandi Herdiaman, ketua organisasi usahawan kecil dan sederhana tempatan. Hanya 60 peratus daripada 8,000 ahli persatuan itu terus bekerja selepas wabak itu.

    Sekarang, cabaran terbesar ialah import murah dari China. Dalam dua bulan lalu, keluaran daripada industri dari rumah telah jatuh sebanyak 70 peratus, kata organisasi industri itu.

    Import produk China meningkat sebahagiannya adalah sebab daripada pergeseran perdagangan antara AS dan China, yang telah menyebabkan kenaikan tarif Amerika ke atas barangan China. Tetapi ia juga memberi kesan kepada perdagangan dalam Asia apabila rantau ini melaksanakan pelbagai pakatan perdagangan bebas, serta melemahkan permintaan dalam pasaran Barat untuk eksport China.

    Industri Thailand juga merasa semakin bimbang tentang kemasukan produk murah dari China yang mereka katakan telah menjejaskan jualan pengeluar domestik apabila tidak mampu bersaing. Namun, Thailand segera bertindak apabila mengenakan cukai nilai tambah sebanyak 7 peratus ke atas semua produk import, berubah daripada peraturan sebelumnya yang mana cukai dikenakan ke atas produk import yang berharga lebih daripada 1,500 baht (AS$44) sahaja. Dasar sementara itu berkuat kuasa dari Julai hingga Disember bagi memberi masa kepada kerajaan mengkaji isu itu sebelum penyelesaian jangka panjang dibuat.

    Pada Disember, Indonesia mengeluarkan peraturan untuk mengetatkan pemantauan ke atas lebih 3,000 barangan import termasuk bahan makanan, elektronik dan bahan kimia. Tetapi peraturan itu dibatalkan selepas industri domestik berkata ia menghalang aliran bahan import untuk pengeluaran tempatan dan kini kerajaan mula mempertimbangkan kenaikan tarif yang curam pula.

    Pelanggan sedang memilih baju di sebuah kedai di Bandung, Indonesia pada 11 Julai.- AP

    Walaupun pengeluar yang lebih kecil telah mengalami kerugian yang paling besar, kilang-kilang besar juga turut mengalami kerugian.

    Jany Suhertan, pengarah urusan PT Eksonindo Multi Product Industry, yang membuat pakaian dan aksesori seperti beg galas dan beg tangan di Jawa Barat, mahu kerajaan menaikkan duti import ke atas barangan siap dari China tetapi bukan ke atas bahan mentah yang diperlukan untuk membuat produk di Indonesia.

    Ini adalah kerana hampir separuh daripada bahan yang digunakan syarikatnya adalah dari China.

    “Saya tidak bersetuju dengan mengenakan tarif lebih tinggi ke atas produk mentah kerana kerajaan harus melindungi rantaian bekalan. Jika ia tidak selamat, ia akan memberi kesan kepada pengeluaran,” kata Suhertan. – AP

    Pekerja sedang menyiapkan pakaian di kilang milik PT Eksonindo Multi Product Industry, pengeluar produk pakaian dan beg di Bandung, Indonesia pada 11 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda