JAKARTA, 10 OKT – Persekutuan Gimnastik Indonesia hari ini berkata, badan induk antarabangsa sukan itu menyokong keputusan negara tersebut untuk menolak kemasukan atlet Israel bagi kejohanan gimnastik artistik dunia yang akan datang di Jakarta.
Acara itu, yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober di negara majoriti Muslim terbesar di dunia, dijangka menampilkan lebih daripada 500 atlet dari 79 negara.
Atlet Israel dilaporkan antara yang dijangka mengambil bahagian, namun seorang menteri kabinet kelmarin berkata, kerajaan tidak akan membenarkan mereka masuk, dengan alasan menyokong rakyat Palestin.
Persekutuan Gimnastik Indonesia berkata hari ini, mereka telah memaklumkan pendirian itu kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).
“FIG hari ini secara rasmi telah menyatakan melalui panggilan telefon kepada saya, mereka menyokong keputusan kerajaan Indonesia,” kata pengerusi persekutuan berkenaan, Ita Yuliati, pada sidang akhbar.
“Visa atlet Israel telah ditolak oleh pihak imigresen,” katanya.
Namun, FIG tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP. – AFP


