Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia selar rancangan Amerika Syarikat

    JAKARTA, 27 Feb – Indonesia hari ini mengutuk rancangan Amerika untuk menempatkan kedutaannya di Baitulmaqdis pada bulan Mei, mengatakan bahawa langkah itu akan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menggagalkan proses damai berdasarkan penyelesaian dua negara.

    Kementerian luar negeri Indonesia membuat kenyataan itu di twitternya berikutan pertemuan Timbalan Menteri Luar Indonesia A.M. Fachir dengan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Indonesia Joseph R. Donovan, yang dipanggil ke kementerian kelmarin. Semasa pertemuan mereka, Fachir menyampaikan penolakan Indonesia terhadap dasar terbaharu AS itu.

    Jabatan Negara AS berkata pada 23 Februari lalu bahawa negara itu merancang untuk membuka kedutaannya di Baitulmaqdis pada bulan Mei.

    Naib Presiden AS Mike Pence berkata bulan lalu semasa lawatannya di Israel bahawa penempatan semula itu akan berlaku menjelang akhir tahun 2019.

    Presiden AS Donald Trump mendedahkan janjinya pada bulan Disember untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menuntut Jabatan Negara membangunkan rancangan untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Indonesia kemudian mengadakan pertemuan luar biasa antara para pemimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diadakan di Turki sejurus selepas pengumuman Trump.

    Selepas mesyuarat itu, OIC meminta Trump untuk menimbang semula ranca-ngan itu kerana ia akan menjejaskan proses perdamaian yang berterusan untuk menyelesaikan pertikaian yang berpanjangan antara Israel dan Palestin.

    Indonesia adalah penyokong teguh untuk penubuhan negara Palestin yang bebas dengan ibu kotanya di Baitulmaqdis Timur.

    Negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia itu menyokong penyelesaian dua negara yang membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup berdampingan secara damai. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda