JAKARTA, 2 JUN – Indonesia telah melaksanakan tiga pusingan penyemburan natrium klorida berjumlah tiga tan ke atmosfera untuk mengurangkan kesan banjir dan tanah runtuh di Sumatera Selatan.
Diselaraskan oleh Badan Nasional Pe-ngurusan Bencana Indonesia (BNPB), proses itu bermula pada Khamis dengan pangkalan operasi terletak di Pangkalan Udara Sri Mulyono Herlambang di Palembang.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhairi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pusingan pertama penyemburan pada Jumaat menyasarkan daerah Ogan Komering Ilir dan Ogan Ilir.
Ini diikuti oleh daerah Banyuasin dan Musi Banyuasin pada pagi Sabtu dengan satu lagi pusingan pada sebelah petang yang memberi tumpuan sekali lagi di kawasan Ogan Komering Ilir dan Ogan Ilir.
Abdul Muhairi menekankan bahawa pasukan BNPB tetap berada di lokasi, bersedia untuk melakukan penyemburan lanjut di lokasi terdedah hujan yang dikenal pasti melalui pemantauan satelit cuaca.
“Operasi Teknologi Modifikasi Cuaca (TMC) dijadualkan berlangsung sehingga Isnin dengan kemungkinan dilanjutkan berdasarkan keperluan di lapangan,” tambahnya. – Bernama
