Thursday, December 26, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia serah Mary Jane Veloso kepada Filipina

    MANILA, 20 NOV – Seorang wanita Filipina yang dijatuhi hukuman mati di Indonesia atas tuduhan dadah akan diserahkan kepada Manila selepas beberapa tahun perundingan yang ‘panjang dan sukar’, kata Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, hari ini.

    Mary Jane Veloso ditangkap di Indonesia pada 2010 kerana membawa beg yang mengandungi 2.6 kilogram heroin dan kemudiannya dijatuhi hukuman mati oleh skuad menembak.

    Kes ibu kepada dua anak tersebut mencetuskan kemarahan di Filipina, dengan keluarga dan penyokongnya mengatakan dia tidak bersalah dan telah diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa.

    Mereka menegaskan bahawa dia telah ditipu untuk mendaftar bagi pekerjaan yang tidak wujud sebagai pembantu rumah di luar negara dan tidak menyedari bahawa beg yang diberikan oleh perekrutnya mengandungi dadah yang disembunyikan.

    Kerajaan Filipina mendapat penangguhan pada saat-saat akhir bagi Veloso pada 2015 selepas seorang wanita yang disyaki merekrutnya ditangkap dan dibicarakan atas tuduhan pemerdagangan manusia, di mana Veloso dinamakan sebagai saksi pendakwaan.

    Mary Jane Veloso ketika program sambutan Hari Kartini untuk memperingati wira nasional Indonesia dan aktivis hak wanita, Raden Kartini, di penjara Yogyakarta pada 23 April 2016. – AFP

    “Setelah lebih sedekad diplomasi dan perundingan dengan kerajaan Indonesia, kami berjaya menangguhkan pelaksanaan hukuman mati ke tahap yang cukup lama untuk mencapai persetujuan bagi akhirnya membawa beliau pulang ke Filipina,” kata Marcos dalam satu kenyataan.

    Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, berkata Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan dasar pemindahan tahanan bagi kes Veloso.

    Pemindahan dijangka berlaku bulan depan. Setiausaha Negara Filipina, Eduardo de Vega, berkata tujuan kerajaan bukan hanya untuk pemindahan, tetapi juga agar presiden dapat memberi pengampunan.

    Marcos berkata dalam kenyataannya bahawa cerita Veloso “berkait dengan ramai orang: seorang ibu yang terperangkap dalam kemiskinan, yang membuat satu keputusan terdesak yang mengubah arah hidupnya.”

    “Walaupun dia bertanggungjawab mengikut undang-undang Indonesia, dia tetap merupakan mangsa keadaan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda