Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia seru tindakan berhemah, sokong keamanan global

    JAKARTA, 18 JUN – Menteri Luar Indonesia, Sugiono menggesa semua pihak agar bertindak secara berhemah dalam menghadapi ketegangan global yang semakin memuncak, serta menegaskan kesediaan Jakarta untuk menyokong usaha keamanan antarabangsa.

    Dalam sidang media bersama Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, di Moscow kelmarin, Sugiono turut menekankan keutamaan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan pertikaian.

    “Kami bersetuju sebarang bentuk peningkatan ketegangan perlu dihentikan dan pertikaian harus dibawa ke meja rundingan,” katanya, menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia.

    Kenyataan itu susulan ulasan Lavrov mengenai ketegangan di Timur Tengah dan merupakan sebahagian daripada perbincangan lebih meluas mengenai isu serantau serta global, termasuk kerjasama di bawah kerangka BRICS dan ASEAN.

    Sugiono berkata Indonesia bersedia untuk menyumbang kepada usaha membina keamanan dan menjadi pengantara sekiranya diperlukan.

    Sugiono semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Mei. – Bernama

    “Saya turut menawarkan bantuan Indonesia dalam merapatkan jurang komunikasi dan perbezaan, serta mengurangkan ketegangan di peringkat serantau serta global agar kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih aman di pelbagai bahagian di dunia,” katanya.

    Kedua-dua menteri turut berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor utama termasuk politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, serta keselamatan makanan dan tenaga.

    Mereka juga bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada tahap Perkongsian Strategik.

    Kedua-dua pihak menyambut baik hubungan rasmi yang semakin erat antara kedua-dua negara, yang telah membawa kepada inisiatif kerjasama baharu termasuk dalam bidang pendidikan dan program perpustakaan.

    Lawatan Sugiono dilakukan menjelang kunjungan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Rusia pada 19 hingga 20 Jun untuk bertemu Presiden Vladimir Putin dan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF).

    Lawatan itu juga bersempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Indonesia dan Rusia yang terjalin sejak Februari 1950. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda