Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia siap siaga peningkatan COVID selepas Lebaran

    JAKARTA, 28 APRIL – Indonesia kini sedang bersiap siaga bagi peningkatan dalam kes-kes COVID, terutamanya dalam subvarian baharu Omicron, XBB.1.16 selepas pergerakan tinggi manusia semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

    Kementerian Kesihatan negara itu kelmarin menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka bagi aktiviti luar dan di kawasan awam, khususnya mereka yang mendapati diri mereka demam serta mematuhi protokol kesihatan sekali lagi. Pada Mei tahun lalu, kerajaan membatalkan mandat pemakaian pelitup muka di tempat terbuka.

    “Dengan memakai pelitup muka dan menjalani gaya hidup sihat serta divaksinasi, kita berharap dapat mengelak kemungkinan peningkatan besar dalam kes COVID,” jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammad Syahril mmemberitahu wartawan.

    Kementerian mengesahkan kira-kira 1,879 kes aktif baharu COVID setakat Khamis, membawa jumlah keseluruhan jangkitan kepada 6,769,005. Jumlah itu terus meningkat dalam masa dua minggu kebelakangan ini.

    Semasa cuti Aidilfitri yang jatuh pada 19-25 April, Indonesia merekodkan perjalanan atau mudik tahunan terbesar dalam sejarahnya, dengan tidak kurang 123 juta orang di seluruh negara itu kembali ke kampung halaman mereka atau rumah-rumah saudara, berdasarkan data dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

    Ia merupakan jumlah yang agak tinggi berbanding cuti raya tahun lalu pada Mei yang hanya menyaksikan 85 juta melakukan mudik.

    Beberapa kawasan di bandar-bandar besar Indonesia turut melaporkan peningkatan dalam kes COVID. Pasukan Khas COVID-19 di Wilayah Jawa Timur Indonesia misalnya mendedahkan beberapa buah hospital melaporkan peningkatan dalam jangkitan COVID semasa cuti raya.

    “Lazimnya, peningkatan harian jangkitan COVID di wilayah itu sekitar 50 kes sahaja, namun ia menjadi 100 kes baru-baru ini,” kata jurucakap pasukan khas itu, Makhyan Jibril dipetik oleh portal berita tempatan. – Xinhua

    Gambar fail penunggang motosikal mudik di Surabaya, Indonesia pada 20 April lalu untuk cuti Aidilfitri. Indonesia kini bersiap siaga bagi kemungkinan peningkatan dalam jangkitan COVID selepas cuti Lebaran yang panjang berikutan jutaan melakukan perjalanan pulang ke kampung. –Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda