Jumaat, 21 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia siasat pelajar susulan insiden letupan di sekolah

    JAKARTA, 9 NOV – Pihak berkuasa Indonesia kelmarin berkata, mereka sedang menyiasat seorang pelajar berhubung dakwaan penglibatannya dalam siri letupan yang mencederakan hampir 100 orang di sebuah sekolah di bandar Jakarta.

    Letupan itu berlaku di sebuah surau sekolah di Jakarta Utara ketika orang ramai sedang berkumpul untuk solat Jumaat, menyebabkan panik dalam kalangan jemaah.

    Ketua Polis Negara berkata penyiasat telah mengumpul ‘beberapa bahan bukti’ sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

    “Ada tulisan dan terdapat juga bahan serbuk yang berpotensi menyebabkan letupan,” kata Listyo Sigit Prabowo dalam kenyataan yang disiarkan oleh Kompas TV.

    Setakat ini, pihak berkuasa telah mengenal pasti seorang suspek, seorang pelajar yang turut cedera dalam letupan berkenaan, namun Listyo tidak menolak kemungkinan penglibatan individu lain.

    Beliau menambah, penyiasat turut meneliti latar belakang keluarga dan aktiviti media sosial suspek tersebut.

    Menurut Listyo, 96 orang cedera dalam insiden itu, sekali gus menyemak semula angka awal polis yang melaporkan 54 mangsa.

    Sebanyak 29 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk kira-kira  dua yang berada di unit rawatan rapi (ICU).

    Jurucakap unit polis antikeganasan Densus 88, Mayndra Eka Wardhana, memberitahu AFP, penyiasat telah menggeledah rumah suspek.

    Beliau menambah, pihak berkuasa masih menyiasat motif di sebalik kejadian tersebut.

    Seorang saksi memberitahu AFP, berlaku kekeliruan ketika kejadian.

    “Pada mulanya kami fikir ia datang daripada peralatan elektrik, mungkin sistem pembesar suara tetapi rupanya letupan itu datang dari bawah sejadah,” kata Kinza Ghaisan Rayyan, 17 tahun, seorang pelajar, pada Jumaat. – AFP

    Pegawai polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas berlaku letupan di sebuah sekolah di Jakarta pada 7 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Rockets atasi Cavs