JAKARTA, 9 DIS – Kerajaan Indonesia menerusi Agensi Pencegahan Keganasan Kebangsaan (BNPT) dan Slovakia memperkukuh kerjasama dua hala dalam menangani keganasan, khususnya di peringkat nasional, serantau dan global, lapor agensi berita ANTARA.
Menurut kenyataan BNPT hari ini, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan.
“Kami juga memberi perhatian terhadap perlindungan kanak-kanak yang terdedah kepada konflik, seperti kes RD di Slovakia.
“Walaupun langkah pencegahan menunjukkan hasil positif, ancaman masih wujud terutama dengan penglibatan wanita dan kanak-kanak dalam aktiviti keganasan, sama ada sebagai mangsa mahupun pelaku,” kata Timbalan Kerjasama Antarabangsa BNPT, Andhika Chrisnayudhanto.
Sementara itu, Pakar Kanan dari Pusat Anti-Keganasan Polis Slovakia, Mejar Martin Baran menjelaskan bahawa negaranya menghadapi cabaran khususnya daripada kelompok radikal dan pelarian yang kembali dari zon konflik.
Oleh itu, Slovakia memberi keutamaan kepada pemantauan radikalisme dalam talian menggunakan teknologi canggih selain memperkukuh kawalan sempadan dan perkongsian maklumat risikan. – Bernama