JAKARTA, 25 MEI – Menteri Luar Indonesia, Sugiono menyatakan sokongan penuh terhadap pelbagai inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam usaha memudah cara penyelesaian aman konflik dalaman di Myanmar.
Ketika berucap dalam Mesyuarat Konsultasi Tidak Formal Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) di Kuala Lumpur kelmarin, beliau mengulangi kesediaan Indonesia untuk terus menyumbang secara aktif ke arah pemulihan demokrasi dan kestabilan di Myanmar.
“Kekuatan ASEAN terletak pada perpaduannya. Dalam menghadapi krisis Myanmar, kita mesti bersuara dengan nada yang sama dan bertindak dengan satu matlamat untuk mendesak pelaksanaan penuh 5PC,” katanya menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia hari ini.
Mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN itu merupakan forum tidak rasmi yang menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Utusan Khas ke Myanmar bagi membincangkan perkembangan terkini serta menggalakkan pelaksanaan 5PC yang lebih berkesan.
Sugiono turut menegaskan kepentingan pelaksanaan menyeluruh Konsensus Lima Perkara itu, dengan memberi tumpuan kepada hentikan keganasan, peluasan bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan dialog inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar. “Indonesia kekal komited untuk mempromosi penyelesaian aman di Myanmar. – Bernama
