Sunday, June 30, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Indonesia tahan 103 warga Taiwan, disyaki terbabit jenayah siber

    DENPASAR, 28 JUN – Pihak berkuasa imigresen Indonesia telah menahan 103 warga Taiwan selepas serbuan di sebuah vila di pulau peranginan Bali, kata pegawai pada hari ini.

    Mereka dituduh menyalahgunakan visa dan permit kediaman mereka dan disyaki mungkin melakukan jenayah siber, Safar Muhammad Godam, pengarah penyeliaan dan penguatkuasaan imigresen di Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia berkata kepada pemberita pada sidang akhbar.

    Godam berkata pihak berkuasa Indonesia tidak boleh menuduh mereka melakukan jenayah siber. “Semasa pemeriksaan, kita tahu mereka menyasarkan orang di Malaysia. Mereka melakukan aktiviti mereka di Indonesia tetapi mangsa berada di negara lain, jadi sangat sukar untuk memenuhi unsur jenayah,” kata Godam.

    Beliau menambah 103 orang itu akan dihantar pulang tidak lama lagi.

    Pihak imigresen melakukan serbuan pada hari Rabu di sebuah vila di kampung Kukuh di daerah Tabanan dan menahan 91 lelaki dan 12 wanita. Komputer dan telefon bimbit turut dirampas, kata mereka.

    “Mereka disyaki tidak memiliki dokumen dan salah guna permit imigresen. Pada masa ini, kemungkinan jenayah siber sedang disiasat berdasarkan bilangan komputer dan telefon bimbit yang ditemui di tempat kejadian,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Silmy Karim dalam satu kenyataan kelmarin.

    Pihak berkuasa mengedarkan gambar yang menunjukkan berpuluh-puluh tahanan terbaring terlentang di sebelah kolam renang dan vila tiga tingkat itu. Kesemuanya ditahan di pusat tahanan di Denpasar, Bali, kata pegawai.

    Pihak berkuasa berkata mereka sedang menyiasat sama ada kumpulan itu mungkin mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

    Direktorat Jeneral Imigresen Indonesia merancang untuk menjalankan satu lagi operasi bersama untuk memantau warga asing di Bali. Ia bertujuan untuk memastikan warga asing tinggal di pulau itu mengikut peraturan dan menjaga ketenteraman dan keselamatan. – AP

    Warga asing dari China, Taiwan dan Malaysia yang ditahan atas dakwaan melakukan jenayah siber dan pelanggaran visa beratur di lapangan susulan serbuan di sebuah vila di Tabanan, Bali, Indonesia, Rabu, 26 Jun 2024. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...