Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tahan 285 individu, setengah tan dadah dirampas

    JAKARTA, 24 JUN – Pihak berkuasa Indonesia kelmarin telah mengumumkan penahanan 285 individu yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah, termasuk 29 wanita dan tujuh warga asing, serta rampasan lebih setengah tan narkotik dalam operasi selama dua bulan.

    Indonesia merupakan antara hab utama pengedaran dadah di Asia Tenggara, meskipun negara itu mempunyai undang-undang dadah yang sangat ketat, termasuk hukuman mati melalui skuad penembak bagi penyeludup yang disabitkan kesalahan.

    Ketua Badan Narkotik Nasional (BNN), Marthinus Hukom berkata operasi yang dijalankan dari April hingga Jun di 20 wilayah itu turut membongkar kegiatan pengubahan wang haram oleh dua sindiket dadah dan merampas aset bernilai lebih 26 bilion rupiah.

    Seramai 36 suspek, termasuk 21 wanita, diperkenalkan kepada media dengan tangan bergari dan berpakaian seragam penjara jingga bersama dadah yang dirampas.

    Menurut Hukom, kebanyakan wanita yang ditahan merupakan suri rumah tanpa pekerjaan tetap.

    Anggota polis Indonesia berkawal berhampiran suspek dan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam operasi besar-besaran di Jakarta, Indonesia, pada 23 Jun 2025. – AP

    Timbalan Ketua BNN, Budi Wibowo memaklumkan pihak berkuasa telah merampas 683,885 gram dadah jenis syabu, ganja, ekstasi, THC, hashish dan amfetamin.

    Rampasan itu turut menghalang lebih 1.3 juta individu daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

    Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menyatakan Indonesia menjadi sasaran utama sindiket dadah antarabangsa disebabkan populasi muda yang ramai.

    Dalam operasi berasingan, pihak berkuasa di wilayah Kepulauan Riau pada Mei lalu berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan dadah di perairan tempatan dan merampas 2.7 tan syabu dan 1.2 tan ketamin, kata Hukom.

    Data Kementerian Imigresen dan Pemulihan menunjukkan kira-kira 530 individu, termasuk 96 warga asing, kini berada dalam senarai hukuman mati di Indonesia, kebanyakannya atas kesalahan berkaitan dadah.

    Hukuman mati terakhir dilaksanakan pada Julai 2016 terhadap seorang warga tempatan dan tiga warga asing. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda