Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tambah Google Pixel dalam senarai larangan

    JAKARTA, 1 NOV – Indonesia telah melarang penjualan telefon Google Pixel berikutan kegagalan syarikat teknologi itu mematuhi peraturan pelaburan, kata Kementerian Perindustrian, beberapa hari selepas menyekat penjualan iPhone 16 keluaran Apple.

    Jakarta berusaha merangsang pelaburan dari syarikat teknologi asing dengan langkah-langkah ketat yang mewajibkan 40 peratus komponen telefon diperoleh dari Indonesia.

    “Kami menyatakan bahawa selagi produk-produk tersebut tidak memenuhi skim yang telah kami tetapkan, ia tidak boleh dijual di Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Perindustrian, Febri Hendri Antoni Arif dalam satu taklimat media kelmarin.

    “Bagi Google Pixel, mereka belum memperoleh sijil TKDN,” tambahnya, merujuk kepada akronim skim yang menetapkan peraturan 40 peratus tersebut.

    Google Indonesia belum memberikan respons segera terhadap permintaan komen daripada AFP.

    Gambar Freepik

    Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mempunyai populasi muda celik teknologi dengan lebih daripada 100 juta orang berusia bawah 30 tahun, yang menjadi sasaran syarikat teknologi sebagai sumber pelaburan penting mereka.

    Menurut data Kementerian Perindustrian, kira-kira 22,000 telefon Google Pixel telah memasuki pasaran Indonesia tahun ini.

    Pasaran penghantaran telefon pintar Indonesia pada suku kedua tahun ini didominasi oleh syarikat dari China seperti Xiaomi, Oppo dan Vivo, serta syarikat Korea Selatan, Samsung, menurut Kajian Counterpoint.

    Kementerian menyatakan minggu lalu bahawa telefon yang disekat daripada penjualan komersial masih boleh dibawa masuk ke Indonesia asalkan ia tidak dijual secara perdagangan.

    Ia juga memaklumkan bahawa telefon iPhone 16 tidak memenuhi syarat 40 peratus komponen tempatan.

    Apple tidak mempunyai kedai rasmi di Indonesia, namun ketua eksekutifnya, Tim Cook melawat negara itu pada April lalu ketika firma itu meneroka cara-cara untuk melabur di sana. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda