JAKARTA, 5 OKT – Indonesia telah menarik balik penggantungan lesen operasi tempatan TikTok selepas platform media sosial itu berkongsi data yang diminta oleh kerajaan berhubung protes terbaharu, menurut Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital.
Indonesia merupakan pasaran kedua terbesar bagi TikTok, yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance, dengan lebih daripada 100 juta pengguna.
Kementerian itu berkata pada Jumaat ia telah ‘menggantung sementara’ lesen operasi aplikasi tersebut kerana gagal menyediakan data mencukupi mengenai aktiviti siaran langsungnya semasa protes anti-kerajaan pada bulan Ogos.
Bagaimanapun, TikTok telah membekalkan data yang diminta pada hari yang sama, kata Ketua Pengarah kementerian itu,
Alexander Sabar, dalam satu kenyataan lewat semalam.
“Berdasarkan pematuhan terhadap kewajipan tersebut, Kementerian Komunikasi dan hal ehwal digital… telah mengaktifkan semula status TikTok sebagai pengendali sistem elektronik berdaftar,” katanya.
Jurucakap TikTok enggan mengulas, namun sebelum ini aplikasi perkongsian video itu menegaskan bahawa ia menghormati undang-undang di pasaran yang diceburi. – AFP


