Jumaat, 21 November 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tekankan peranan Jordan menyokong Palestin

    JAKARTA, 16 NOV – Presiden Prabowo Subianto menekankan peranan penting Jordan sebagai rakan Indonesia dalam mempromosikan keamanan antarabangsa dan menyokong perjuangan rakyat Palestin pada majlis santapan negara bagi meraikan Raja Abdullah II ibn Al Hussein di Jakarta pada Jumaat malam.

    “Kita bukan sekadar rakan; kita berkongsi hubungan persaudaraan dan persahabatan yang kukuh,” kata Prabowo dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin, lapor agensi berita ANTARA.

    Beliau menegaskan bahawa hubungan Indonesia-Jordan berasaskan persaudaraan dan perlu dipelihara untuk generasi masa depan.

    Raja Abdullah II menyampaikan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan kepada baginda dan delegasi Jordan sepanjang lawatan tersebut.

    Baginda menyatakan bahawa Indonesia memainkan peranan penting dalam komuniti Muslim global, khususnya melalui usaha diplomatiknya semasa tempoh yang mencabar.

    Raja Abdullah II berkata baginda melawat Indonesia bukan sahaja sebagai ketua negara tetapi juga sebagai saudara yang komited mengukuhkan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara.

    Baginda menambah bahawa sokongan Jordan terhadap Indonesia pada waktu-waktu sukar mencerminkan semangat persaudaraan yang tulen.

    Majlis santapan negara itu turut melambangkan solidariti berterusan dan hubungan rapat antara Indonesia dan Jordan, yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1951.

    Sebelum santapan itu, Presiden Prabowo dan Raja Abdullah II mengadakan mesyuarat dua hala, di mana baginda menyampaikan ‘Bejewelled Grand Cordon Al Nahda’ (Order of the Renaissance) kepada Presiden. – Bernama/Antara

    Raja Abdullah II (kiri) mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto selepas menganugerahkan beliau dengan Darjah Kebesaran ‘Bejewelled Grand Cordon Al Nahda’ semasa pertemuan mereka di Istana Merdeka di Jakarta, Indonesia pada 14 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda