Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia terima pelaburan AS$8.5 bilion daripada syarikat UK

    JAKARTA, 22 NOV – Indonesia meraih komitmen pelaburan sebanyak AS$8.5 bilion daripada 19 syarikat terkemuka United Kingdom (UK) semasa lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara itu.

    Perjanjian itu, yang diumumkan pada Khamis berikutan Forum Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif, menggariskan keyakinan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi Indonesia dengan kestabilan politik negara dan komitmen terhadap tadbir urus yang bersih serta cekap memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan asing.

    “Kami baru sahaja bertemu dengan pemimpin beberapa syarikat terbesar di sini, dan mereka telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak AS$8.5 bilion. Ini mencerminkan keyakinan mereka terhadap ekonomi Indonesia,” kata Prabowo di London, menurut kenyataan Sekretariat Presiden pada hari ini.

    Menteri Kewangan, Sri Mulyani yang turut hadir dalam mesyuarat di Lancaster House berkata para Ketua Pegawai Eksekutif amat berminat dalam sektor seperti peralihan tenaga, infrastruktur, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

    Prabowo dan delegasinya tiba di London pada Rabu untuk lawatan itu atas jemputan kerajaan UK.

    Menurut Prabowo, perbincangannya dengan Perdana Menteri Keir Starmer tertumpu kepada usaha memperkukuh hubungan Indonesia-UK, dengan Starmer menyatakan minat mendalam untuk bekerjasama dalam sektor seperti ekonomi, perikanan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertahanan. – Bernama

    Perdana Menteri Britain, Keir Starmer (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kiri) di dalam 10 Downing Street, di tengah London, pada 21 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda