Indonesia teruskan usaha mencari mangsa banjir

MAKASSAR, INDONESIA, 17 JULAI – Para penyelamat hari ini menarik keluar mayat-mayat dari lumpur dan serpihan runtuhan ketika mereka berlumba mencari berpuluh-puluh lagi yang masih hilang selepas banjir kilat meragut nyawa sekurang-kurangnya 36 orang di pulau Sulawesi.

Lebih daripada 14,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana, berteduh di tempat perlindungan sementara di kawasan paling terjejas Luwu Utara, dengan agensi mencari dan menyelamat mencari 66 orang lagi yang masih hilang.

Beberapa batang sungai melimpah airnya selepas hujan lebat melanda kawasan itu pada Isnin, mengakibatkan banjir kilat yang membawa maut.

Pegawai hari ini berkata sekurang-kurangnya 36 orang terkorban dalam bencana itu, susulan penemuan lebih banyak mayat. Mereka juga menambah jumlah orang yang hilang kepada lebih 60 orang, berdasarkan laporan daripada sanak-saudara yang kebimbangan.

“Peluang menemui mereka adalah amat tipis memandangkan kami sudah menjalankan misi mencari selama empat hari dan keadaan pula sukar di luar sana,” kata Andi Mukti, penyelaras pasukan mencari dan menyelamat di Luwu Utara, memberitahu AFP. “Terdapat lumpur tebal sehingga dua meter,” katanya, menambah pencarian akan diteruskan pada hujung minggu. – AFP

Penyelamat mengeluarkan mereka yang terselamat ke tempat perlindungan di Luwu Utara, Sulawesi Selatan selepas air di beberapa batang sungai melimpah dari tebingnya akibat hujan lebat. Seramai 36 maut manakala lebih 60 lagi hilang dalam kejadian banjir kilat itu. – AFP