Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Thailand pencabar utama skuad hoki

    KUALA LUMPUR, 29 MAC – Indonesia dan Thailand dilihat sebagai pencabar utama skuad hoki dalam dewan lelaki Malaysia pada temasya Sukan SEA Kemboja Mei ini.

    Ketua jurulatih, Mohd Hanif Che Halim berkata, skuad Indonesia kini dikendalikan bekas jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Dharma Raj Abdullah yang memikul tanggungjawab sebagai pengarah teknikal pasukan hoki Indonesia.

    “Di Piala Asia (tahun lepas), kita pernah bertemu dengan Indonesia, kita sudah melihat taktikal mereka. Balik dari Piala Asia, pasukan Indonesia dilihat sudah mula berlatih dan sudah keluar melakukan siri jelajah ke dua atau tiga negara.

    “Jadi kita akan tukar sikit corak permainan, kita akan variasikan, tidak guna taktikal lama sebab pihak lawan semakin rapat dengan kita. Jadi kita akan cuba ubah corak permainan untuk lebih agresif,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan skuadnya di sini.

    Pada Ogos tahun lepas, pasukan kendalian Mohd Hanif mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 menewaskan juara bertahan Iran, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Bangkok, Thailand.

    Mohd Hanif yang pernah meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019 dalam sukan itu berkata pasukan negara dijadual berlepas ke Perth, Australia untuk perlawanan persahabatan pada 9 hingga 19 April ini dan senarai akhir 12 pemain hanya akan dibuat selepas siri jelajah berkenaan.

    Sementara itu, jurulatih pasukan wanita, Mohd Badrul Hisham Osman bertekad untuk mempertahankan kejuaraan yang pernah diraih pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Filipina 2019. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda