Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Indonesia, Timor-Leste runding selesai isu sempadan

    JAKARTA, 26 JAN – Pemimpin Indonesia dan Timor-Leste hari ini mengumumkan komitmen mereka untuk menyelesaikan rundingan sempadan antara kedua-dua negara, selain mempergiat kerjasama dalam bidang ekonomi dan teknologi maklumat.

    Presiden Indonesia Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, menyambut baik pengaktifan semula jawatankuasa sempadan bersama dan khususnya menekankan mengenai pengembalian semula titik lintasan sempadan untuk pengurusan sempadan yang lebih baik.

    Kenyataan bersama itu dibuat hasil pertemuan di Istana Bogor di Jawa Barat, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.

    Gusmao, yang memperakui usaha pasukan perunding dalam perjanjian dua hala itu, menyuarakan keyakinannya untuk mencari penyelesaian masa depan dalam isu sempadan antara kedua-dua negara.

    “Penyelesaian sempadan maritim dengan Indonesia penting dalam mengukuhkan kedaulatan kedua-dua negara kami,” katanya.

    Selain isu sempadan, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dengan menggalakkan iklim pelaburan yang lebih kondusif melalui pelaksanaan perjanjian perlindungan pelaburan.

    “Saya menghargai kepercayaan Timor-Leste terhadap perusahaan milik kerajaan Indonesia dalam pelbagai projek, seperti pembinaan jalan raya di Oecusse dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Dili,” kata Jokowi.

    “Selain itu, pemeteraian memorandum persefahaman bagi kerjasama teknologi maklumat juga merupakan satu lagi langkah penting, katanya. – Bernama

    Jokowi (kanan) berjabat tangan dengan Gusmao semasa sidang media di Istana Bogor di Bogor, Jawa Barat pada 26 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...