Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tingkat import minyak, gas AS

    JAKARTA, 18 APRIL – Indonesia berkata hari ini ia akan meningkatkan import minyak dan gas dari Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk mengurangkan tarif yang dikenakan oleh Washington, sambil menambah perbincangan akan selesai dalam tempoh 60 hari.

    Ketua Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto membuat komen itu selepas beliau dan delegasi lain bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick; Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer; dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

    “Indonesia akan meningkatkan pembelian tenaga dari AS, termasuk LPG, minyak mentah dan petrol,” kata Airlangga pada sidang media dalam talian di Washington.

    “Indonesia juga merancang untuk terus membeli produk pertanian dari AS, seperti gandum, kacang soya dan susu kacang soya,” tambahnya.

    Beliau berkata pasukan itu berharap untuk bertemu Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent minggu depan, sambil menambah Indonesia adalah antara negara pertama yang diterima kerajaan AS untuk berunding.

    Gambar Envato

    Beliau juga berkata Indonesia berjanji akan membantu syarikat Amerika yang beroperasi di Indonesia dengan permit dan insentif yang lebih mudah.

    Tarif 32 peratus yang dikenakan ke atas Indonesia dalam pengumuman ‘Hari Pembebasan’ Donald Trump pada 2 April lalu adalah antara yang tertinggi di Asia. Tetapi seperti kebanyakan negara lain, ia diberi tempoh 90 hari untuk masa mengadakan rundingan.

    “Indonesia dan AS telah bersetuju untuk menyelesaikan rundingan dalam tempoh 60 hari, dan rangka kerja rujukan atau rangka kerja telah dipersetujui,” kata Airlangga.

    Data daripada Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menunjukkan defisit perdagangan barangan Washington dengan Jakarta berjumlah AS$17.9 bilion pada 2024, meningkat 5.4 peratus. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda