Monday, January 27, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tingkatkan keselamatan maritim sempena cuti perayaan

    JAKARTA, 20 DIS – Pihak berkuasa Indonesia mengutamakan keselamatan maritim di Pelabuhan Tanjung Perak di Surabaya, Jawa Timur yang dijangka mengalami peningkatan aliran trafik yang tinggi menjelang cuti Krismas dan Tahun Baharu 2025.

    Semasa pemeriksaan di pelabuhan kedua terbesar Indonesia selepas Tanjung Priok di Jakarta, Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi kelmarin menggesa semua anggota untuk mengutamakan langkah keselamatan di perairan.

    “Pemeriksaan kapal tidak boleh diabaikan, dan keadaan cuaca perlu sentiasa menjadi pertimbangan sebelum berlepas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan hari ini.

    Dengan jangkaan peningkatan penumpang, menteri itu menekankan kepentingan menguruskan perkhidmatan untuk mengelakkan kesesakan di pelabuhan.

    “Perhatian harus diberikan kepada aliran penumpang masuk dan keluar. Akses untuk penumpang perlu dipermudahkan bagi memastikan perkhidmatan yang cepat dan selesa,” tambah Dudy.

    Menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan Tanjung Perak, trafik penumpang dijangka meningkat sebanyak 20 peratus dengan anggaran 147,383 penumpang, berbanding 122,819 pada tahun sebelumnya.

    Bagi menghadapi lonjakan ini, pelabuhan telah menyediakan 41 kapal daripada enam pengendali, menawarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 342,044 penumpang.

    Tiga terminal juga telah disediakan untuk menguruskan peningkatan itu dan memastikan aliran penumpang lancar sambil meminimumkan kesesakan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda