Tuesday, December 17, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia tinjau peluang perniagaan untuk populasi warga tua

    JAKARTA, 17 DIS – Perniagaan untuk persaraan masih kurang di Indonesia, tetapi pakar berkata peningkatan populasi yang semakin tua seluruh dunia bermakna masa untuk melabur adalah sekarang.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan orang yang berumur 60 tahun ke atas adalah 1 bilion pada 2019 dan dijangka mencecah 2.1 bilion menjelang 2050.

    Gambar Unsplash

    Sementara penduduk warga emas Indonesia pula diunjurkan mencecah 74 juta menjelang 2050, atau kira-kira 25 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

    Menurut Tinjauan Sosioekonomi Nasional (SUSENAS) Statistik Indonesia (BPS), Indonesia kini mempunyai 29.7 juta warga emas, membentuk kira-kira 10.75 peratus daripada penduduk.

    BPS mengklasifikasikan penduduk negaranya sebagai ‘tua’ apabila lebih daripada 7 peratus penduduknya adalah warga emas, bermakna Indonesia sudah termasuk dalam kategori tersebut.

    Namun, menurut laporan yang diterbitkan oleh agensi hartanah di Indonesia, Colliers, sektor perumahan warga emas domestik tidak berkembang kerana sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai budayanya iaitu berbakti kepada ibu bapa.

    Selain itu, penduduk Indonesia masih agak muda, menjadikan sektor ini, “tidak menarik kepada pemaju dan pelabur pada masa ini”, menjadikan perumahan untuk warga emas yang terhad.

    Laporan itu juga menekankan bahawa pembangunan perumahan warga emas diagihkan secara tidak rata di seluruh kepulauan dan kekal tertumpu di kawasan tertentu di Jakarta.

    Pengarah bersekutu kanan Colliers, Ferry Salanto memberitahu The Jakarta Post bahawa Indonesia mempunyai potensi pertumbuhan dalam industri perumahan senior, terutamanya di Bali, yang boleh memanfaatkan daya tarikannya sebagai destinasi menarik untuk pesara asing.

    “Pasaran terbesar Bali (untuk perumahan warga emas) ialah (pelanggan) dari luar negara,” katanya.

    Beliau seterusnya menegaskan bahawa ekosistem warga emas boleh dibina dengan membangunkan kemudahan sokongannya untuk menampung kehidupan warga emas. “Jadi, jual hartanah dan perkhidmatan itu dalam satu pakej. Ia boleh berada di mana-mana sahaja,” cadangnya.

    Gambar Unsplash

    Pengerusi Persatuan Warga Emas Indonesia (ASLI), Herman Kwik juga mengakui perkara yang sama apabila menyatakan warga emas asing sebagai pasaran yang berpotensi untuk kawasan seperti Bali, manakala peningkatan jumlah warga emas di Indonesia akan membawa peluang untuk keseluruhan industri domestik.

    “Bali terkenal dengan pelancongannya, jadi untuk penginapan dan lawatan (untuk warga emas asing), saya fikir potensinya terletak di Bali,” katanya.

    Gambar Unsplash

    Herman menambah, walaupun banyak sektor di Bali telah memanfaatkan potensi dengan menawarkan perkhidmatan hotel yang menyasarkan warga emas asing, ini mungkin tidak memenuhi semua keperluan mereka. Oleh itu, ia perlu kembangkan industri dengan menambah pelaburan di rumah persaraan dengan mencukupkan kemudahan kediaman warga emas.

    Industri perumahan untuk warga emas di negara ini telah wujud selama lebih sedekad tetapi masih agak kecil dan hanya menunjukkan pertumbuhan sederhana setakat ini, tambah Herman.

    “Tetapi kami melihat ini sebagai titik permulaan. Kami akan berkembang lebih pantas berbanding sepuluh tahun yang lalu memandangkan kesedaran pengguna tentang komersial dan perubahan dalam budaya dan gaya hidup keluarga yang meningkat,” kata Herman.

    “Permintaan juga akan meningkat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, tetapi ia masih belum jelas,” tambahnya lagi.

    Gambar Unsplash

    Beliau juga menggesa kerajaan melaksanakan peraturan yang lebih jelas, memperkemas prosedur permit, menyediakan insentif cukai serta mencadangkan subsidi bersasar untuk mereka yang paling memerlukan.

    Ketua Institut Demografi Universiti Indonesia, I Dewa Gede Karma Wisana menjelaskan implikasi trend demografi Indonesia akan melonjakkan populasi warga emas disebabkan penurunan kadar kematian, peningkatan jangka hayat dan kadar kesuburan yang lebih rendah.

    Warga Indonesia yang lebih tua tanpa perlindungan kesihatan atau persaraan dijangka kekal dalam tenaga kerja tetapi berkemungkinan bergantung pada pekerjaan tidak formal, mengakibatkan pendapatan tidak stabil dan terdedah kepada isu kesihatan yang serius.

    “Tetapi jika warga emas mempunyai aset dan perlindungan persaraan yang mencukupi, mereka boleh mempunyai kualiti hidup yang baik dan menikmati persaraan mereka,” katanya.

    “Klinik geriatrik dalam hospital akan menjadi penting. Permintaan untuk penjagaan jangka panjang dan penjaga warga tua akan muncul,” katanya.

    Tambahnya lagi, peluang boleh dimaksimumkan dengan menawarkan dana pencen dan program jaminan. Jika diurus dan dikawal dengan betul, ini akan membawa peluang yang besar untuk Indonesia.

    “Potensi itu perlu dikembangkan mulai sekarang,” katanya.

    Dewa menekankan keperluan kerajaan untuk mengenal pasti keperluan dan ciri warga emas untuk menyediakan perkhidmatan dan perlindungan yang berkesan, serta memperkukuh perkhidmatan kesihatan untuk warga emas dan meneroka program berasaskan komuniti dan keluarga untuk memastikan kebajikan mereka.

    Kerajaan Indonesia baru-baru ini juga menyedari potensi segmen berkenaan yang semakin meningkat apabila Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno berkata bahawa ‘ekonomi perak’ boleh merangsang pertumbuhan dalam banyak sektor.

     “Dalam ‘ekonomi perak’, keperluan khusus penduduk warga tua seperti peralatan kesihatan, terapi pemulihan dan perkhidmatan awam mesra warga emas membuka potensi besar untuk pelaburan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini. – ANN/The Jakarta Post

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda