JAKARTA, 31 Okt – Para penyiasat Indonesia berkata mereka menumpukan kepada kotak hitam milik nahas pesawat selepas mengesan ‘petanda’ kotak itu hari ini, dua hari selepas pesawat yang membawa 189 penumpang terhempas sejurus berlepas.
Penemuan kotak hitam akan menjadi kunci utama untuk mengetahui kenapa Boeing 737-MAX, salah sebuah pesawat penumpang paling moden, terhempas di Laut Jawa selepas meninggalkan Jakarta.
Pihak berkuasa mendapat petanda kotak kira-kira 30-40 meter di bawah permukaan air, di mana pesawat itu terhempas.
“Kami belum menemukan lokasi kotak hitam, tetapi ia berada di kawasan itu, antara radius kira-kira tiga kilometer,” menurut ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia, Soerjanto Tjahjono memberitahu kepada Kompas TV.
“Biasanya lokasi kotak hitam berhampiran bangkai pesawat.”

Kotak itu memiliki data penerbangan yang menunjukkan kelajuan, altitud dan haluan pesawat, sementara rakaman kokpit turut merakam percakapan dan bunyi-bunyi yang ada di dalam kokpit.
Sekumpulan penyelam dengan kerjasama beberapa buah helikopter dan kapal terlibat dalam usaha pencarian tetapi pihak berkuasa telah menafikan mengenai penemuan mangsa yang terselamat.
Sementara itu, pegawai Boeing dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Lion Air hari ini, selepas Indonesia mengarahkan untuk pemeriksaan pesawat-pesawat 737-MAX.
Sementara itu, menteri pengangkutan Budi Karya Sumadi mengambil langkah dengan menamatkan secara sementara pengarah teknikal Lion Air dan beberapa kakitangan yang membenarkan pesawat tersebut untuk berlepas. – AFP