BOGOR, 14 FEB – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menandatangani beberapa siri perjanjian kelmarin bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pertahanan antara negara-negara majoriti Islam, termasuk penghantaran 69 dron tempur Turkiye ke Jakarta.
Pemimpin Turkiye melawat ekonomi terbesar Asia Tenggara itu selepas mengadakan lawatan ke Malaysia kemudian ke Pakistan dalam lawatan empat hari sekutu utama dalam dunia Islam.
Beliau telah dialu-alukan di sebuah istana Presiden di Bogor, bandar di selatan ibu kota Jakarta, oleh pancaragam tradisional, lagu kebangsaan dan pengibaran bendera dari para pelajar sekolah.
“Kami komited untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara, yang saling menguntungkan,” kata Prabowo selepas rundingan itu.
“Kami juga bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran bersama dan kerjasama dalam industri pertahanan,” tambahnya.
Prabowo berkata ia termasuk latihan bersama untuk tentera dan kerjasama yang lebih erat dalam memerangi keganasan dan risikan.
“Kami telah melihat peluang selanjutnya untuk kerjasama dalam sektor pertahanan,” kata Erdogan.
Pengeluar Turkiye, Baykar; dan syarikat Indonesia, Republikorp, bersetuju dengan penghantaran 60 dron Bayraktar TB3 Turkiye dan sembilan dron tempur altitud sederhana hingga tinggi Akinci yang mampu membawa peluru berpandu, lapor agensi berita nasional Turkiye, Anadolu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-2B-web_15022025.jpg)