JAKARTA, 10 MAC – Indonesia dan Vietnam bersetuju hari ini untuk menaik taraf hubungan mereka kepada perkongsian strategik komprehensif ketika pemimpin sekutu Asia Tenggara itu bertemu di Jakarta untuk memperingati 70 tahun hubungan diplomatik.
Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam, mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di ibu kota Indonesia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan pertahanan.
“Kami telah bersetuju dalam pertemuan kami untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama. Kami mahu menaik taraf hubungan kepada perkongsian strategik komprehensif,” kata Prabowo dalam sidang media selepas pertemuan mereka.
“Kami benar-benar ingin memperkukuh dan bekerjasama dalam hampir semua bidang.”
Beliau berkata mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor perikanan, ekonomi digital, ekonomi hijau, industri teknologi tinggi dan pertahanan serta keselamatan.
Prabowo berkata beliau akan mengunjungi Vietnam tidak lama lagi untuk menandata-ngani ‘perjanjian pelaksanaan kerjasama di zon ekonomi kami,’ dan berharap parlimen Indonesia akan meratifikasi perjanjian tersebut pada bulan depan.
Prabowo melawat Vietnam sebagai presiden terpilih pada September tahun lalu ketika beliau memberi petanda beliau akan memainkan peranan lebih aktif di pentas dunia dalam perubahan dasar luar berbanding dengan pendahulunya, Joko Widodo, yang mengutamakan hal ehwal domestik. – AFP
