Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri 4.0 bawa cabaran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Tidak dapat dinafikan bahawa revolusi perindustrian memberikan impak dan membawa perubahan kepada persekitaran perniagaan dengan membuka ruang bagi kewujudan peluang-peluang baharu dan pada masa yang sama, cabaran-cabarannya yang tersendiri.

    Kehadiran revolusi industri (IR) 4.0, bukan sahaja membuka peluang bagi perniagaan untuk meneroka ekonomi digital yang baharu tetapi ia membawa cabaran daripada segi perlunya untuk memastikan bahawa sumber tenaga manusia dapat memanfaatkan teknologi bagi model perniagaan akan
    datang.

    “Bagi setiap revolusi industri yang kita lalui, kita akan menyaksikan penjanaan pekerjaan baharu dan pada masa yang sama, kehilangan pekerjaan yang tidak lagi relevan dalam era revolusi industri itu.”

    Perkara itu antara yang ditekankan oleh Profesor Ekonomi, Washington and Lee University, Amerika Syarikat, Profesor Art Goldsmith ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Dynamic Changes in the Business Environment: Opportunities and Challenges, semasa Persidangan Antarabangsa Bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) ke-2 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Profesor Art Goldsmith ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Dynamic Changes in the Business Environment: Opportunities and Challenges.
    Dr Chin Wei Keh menghadiri Perasmian ICBEF ke-2 di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, kelmarin.

    Turut hadir ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Hajah Rubiah binti Haji Yacub, penolong-penolong naib canse-lor, jemputan khas, peserta-peserta persidangan serta pegawai UBD.

    Terdahulu, Dekan UBD School of Business and Economics (UBDSBE), Profesor Ahmed Masood Khalid dalam kata alu-aluannya, menyatakan bahawa dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dunia telah menyaksikan perkembangan teknologi yang pesat di mana ia memberikan kesan kepada model perniagaan serta membentuk persekitaran perniagaan global zaman baharu.

    Gelombang pembangunan teknologi baru-baru ini, yang menggunakan data besar dan kesalinghubungan digital yang lebih dikenali sebagai revolusi industri 4.0 dijangka akan memberikan impak yang signifikan kepada model perniagaan akan datang.

    Ia dijangka akan mengurangkan kos transaksi, meningkatkan akses kepada maklumat dan komunikasi lebih cepat yang akan membawa kepada peningkatan persaingan, produktiviti serta pengurusan yang lebih baik, jelas Profesor Ahmed Masood Khalid lagi.

    Namun begitu, jelasnya, perkembangan teknologi itu tidak hadir secara percuma tanpa sebarang kos kerana cabaran etika dan risiko sekuriti daripada segi maklumat merupakan usikan utama yang harus dihadapi oleh negara pada tahun-tahun yang akan
    datang.

    Oleh itu, beliau menyatakan adalah amat penting untuk mempunyai kefahaman yang jelas mengenai cara untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan inovatif bagi negara-negara membangun khususnya ekonomi skala kecil seperti Brunei.

    Dalam hubungan itu, penganjuran ICBEF ke-2 bermatlamat untuk menyediakan forum bagi semua penyelidik dan pengamal untuk membincangkan bagaimana cabaran-cabaran berkenaan serta memberikan cadangan mengenai penyelesaian kepada cabaran berkenaan khususnya bagi negara-negara yang membangun.

    Persidangan ICBEF ke-2 yang dianjurkan oleh UBDSBE itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dan disertai oleh lebih 120 orang peserta dari dalam dan luar negara.

    Persidangan yang membawa tema New Technologies, Dynamic Business Environment and Growth for Future itu mengetengahkan kira-kira 60 orang pembentang dari 14 buah negara termasuk Nigeria, Poland, Pakistan, United Kingdom, Indonesia, Singapura, Malaysia, China, Thailand, Perancis, Turki, Jepun dan Australia serta Negara Brunei Darussalam yang akan membentangkan hasil dapatan kajian terkini mereka dalam pelbagai bidang dan tema semasa 15 sesi selari yang diadakan sepanjang persidangan dua hari itu.

    Persidangan itu membincangkan pelbagai isu termasuk transformasi digital, teknologi maklumat dan pembangunan, kreativiti dan inovasi, kepimpinan dan pengurusan sumber manusia, keusahawanan, perbankan dan kewangan, kewangan dan ekonomi Islam, pertumbuhan dan ekuiti, pengurusan pemasaran dan sikap pengguna, pelancongan dan pemasaran serta isu-isu strategik perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda