Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri bunga Belanda dilanda isu racun perosak

    AALSMEER, 16 APRIL – Ketika Margriet Mantingh memandang bunga yang terbentang sejauh mata memandang di pasar bunga terbesar di dunia berhampiran Amsterdam, namun apa yang dilihatnya hanyalah jambangan bunga yang dipenuhi dengan racun perosak.

    Belanda terkenal dengan bunga tulip dan antara peneraju global dalam industri bunga, kini mendapat perhatian kerana penggunaan racun perosak di ladang-ladang.

    Menurut presiden kumpulan anti-racun perosak PAN-NL, Mantingh, peranan kepimpinan global adalah penting bagi Belanda untuk memimpin ketika menghadapi kritikan terhadap industri tersebut.

    Organisasinya baru-baru ini telah menerbitkan satu kajian yang menunjukkan kebanyakan jambangan bunga yang dibeli di kedai bunga, pasar raya atau dalam talian penuh dengan racun perosak.

    Beliau berkata bunga-bunga tersebut disembur dengan campuran toksik yang boleh menyebabkan kanser, mempengaruhi hormon dan mengurangkan kesuburan.

    Belanda terkenal dengan keindahan pemandangan ladang bunga tulip. – AFP

    “Kami mengkaji 13 jambangan bunga dan menemui 71 racun perosak berbeza, satu pertiga daripadanya adalah bahan yang diharamkan di Kesatuan Eropah,” kata pesara berusia 78 tahun itu kepada AFP.

    Tambahnya, bunga yang dikaji mengandungi kesan racun serangga dan racun kulat, ada di antaranya diharamkan ‘kerana ia sangat toksik untuk manusia.’

    Isu racun perosak pada bunga menjadi tumpuan utama di Perancis selepas seorang gadis muda meninggal dunia akibat leukemia yang dikaitkan dengan pendedahan ibunya kepada bahan kimia itu ketika bekerja sebagai penjual bunga semasa mengandung.

    Kumpulan Royal FloraHolland yang berpangkalan di Aalsmeer, telah menjual kira-kira sembilan bilion bunga setiap tahun dengan hasil tahunan berjumlah 5.2 bilion euro ($5.8 bilion).

    Sebahagian besar pengeluaran mereka dieksport, terutamanya ke Jerman, Britain dan Perancis.

    Syarikat-syarikat Belanda juga mengimport kira-kira tiga bilion batang bunga setiap tahun dari Afrika, terutamanya Etiopia dan Kenya, kata Michel van Schie, jurucakap Royal FloraHolland.

    Walaupun EU mempunyai undang-undang yang mengehadkan racun perosak pada buah-buahan dan sayur-sayuran, tiada undang-undang serupa untuk bunga, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda