JAKARTA – Dengan bunyi rangupan bertih jagung dan jeritan penonton, rakyat Indonesia kini berpusu-pusu ke pawagam untuk menyaksikan filem-filem seram tempatan yang berteraskan kisah-kisah hantu dan makhluk halus yang sudah lama berakar dalam budaya rakyat negara itu.
Genre itu kini mendominasi panggung wayang di Indonesia selepas kisah-kisah rakyat ini membantu menghidupkan semula industri perfileman negara yang pernah suram pada awal abad ini, apabila hampir tiada filem seram tempatan diterbitkan, berbanding puluhan judul yang dihasilkan tahun lalu.
“Ibu bapa dan datuk nenek kita menggunakan kisah-kisah ini untuk menakutkan kita,” kata pensyarah kajian filem di Universiti Bina Nusantara, Jakarta, Ekky Imanjaya, 52.
“Kisah-kisah ini amat dekat dengan kita.”
Menurut Lembaga Filem Indonesia (BPI), sebanyak 60 peratus daripada 258 filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 2024 merupakan filem seram.
Genre ini menyumbang kepada jualan sebanyak 54.6 juta tiket atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton.
Seorang pengunjung pawagam, Elang, 25, yang bekerja sebagai perunding berkata, kejayaan genre ini adalah hasil “penekanan terhadap tradisi dan makhluk halus tempatan” seperti Pocong, iaitu hantu yang masih terbungkus dalam kain kafan.
Seorang lagi peminat filem, Ajeng Putri, 29, berkata filem yang diinspirasikan daripada legenda bandar negara itu “lebih mudah difahami dan lebih mengujakan.”
Kisah-kisah seperti Tuyul makhluk menyerupai kanak-kanak yang hidup semula, serta Kuntilanak roh wanita yang tidak dapat melahirkan anak damit yang mati dalam kandungannya, turut dipaparkan.
Menurut syarikat produksi Studio Antelope yang berpangkalan di Jakarta, industri perfileman Indonesia ‘merosot secara drastik’ pada tahun 1990an disebabkan kekurangan dana.
Pusat data dan arkib filem, Sinematek Indonesia, hanya merekodkan 456 filem yang diterbitkan antara tahun 1990 hingga 2000.
“Daripada jumlah itu, hanya 37 adalah filem seram,” kata petugas arkib, Wahyudi, 55.
Namun begitu, industri filem negara ini menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness dua tahun lalu sebagai industri filem yang paling menumpukan kepada genre tersebut.
Pada tahun lalu, pengendali pawagam terbesar di Indonesia, XXI, mencatatkan lima daripada 10 filem terlaris adalah filem seram, dengan jumlah jualan tiket mencecah 27.8 juta.
Filem seram pertama Indonesia diterbitkan pada tahun 1971 semasa pemerintahan Suharto.
Namun, menurut Ekky, hanya pada era 2010an ‘gelombang baharu bermula’ bagi industri filem tempatan.
Pengarah-pengarah baharu, antaranya yang paling terkenal ialah Joko Anwar, “mengubah segalanya dengan menghasilkan filem-filem seram bebas berkualiti tinggi,” kata pengarah dari Yogyakarta, Ismail Basbeth, 39.
Selepas pandemik COVID-19, industri ini kembali rancak dengan filem KKN di Desa Penari yang ditayangkan pada tahun 2022, dan mencatatkan jualan 10 juta tiket.
Filem tersebut diadaptasi daripada kisah benar yang dipercayai berlaku kepada sekumpulan pelajar yang mengalami kejadian ghaib semasa menjalani program khidmat masyarakat di sebuah perkampungan.
“Ia melancarkan gelombang baharu filem yang lebih realistik, berasaskan kejadian sebenar,” kata pengarah Nanang Istiabudi, 53.
Menurut laman sesawang Film Indonesia, pawagam-pawagam Indonesia menjana hasil kasar sebanyak AS$136 juta pada tahun 2022.
Firma PwC Indonesia menganggarkan industri pawagam menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara pada tahun tersebut dan dijangka berkembang lebih enam peratus setahun sehingga 2027.
Perkembangan pesat itu turut membolehkan industri ini mendapat ruang khas dalam Festival Filem Antarabangsa Busan 2023 yang sering dianggap festival paling berprestij di Asia di bawah program bertajuk the renaissance of Indonesian cinema.
Selain mitos bandar, filem-filem seram Indonesia juga mengetengahkan unsur keagamaan, yang menjadi asas dalam masyarakat negara majoriti Islam terbesar di dunia itu.
Dalam beberapa filem, ayat-ayat Al-Quran digunakan, malah jalan cerita keseluruhan turut diinspirasikan oleh Islam.
Kehadiran platform penstriman turut membolehkan filem-filem tertentu menjangkau khalayak antarabangsa yang lebih luas, kata Ismail Basbeth, yang hadir ke Busan pada tahun 2023.
Malah syarikat-syarikat produksi kecil seperti Avantgarde Productions dari Jakarta juga berjaya menembusi pasaran luar.
“Filem-filem terkini sudah pun ditayangkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan kami sedang berunding dengan Vietnam,” kata Marianne Christianti Purnaawan, 27, penerbit syarikat tersebut.
Minat rakyat Indonesia terhadap filem seram serta sambutan hangat dari penonton antarabangsa mendorong para pakar menjangkakan genre ini akan terus berkembang pesat pada masa akan datang.
“Filem Indonesia berjaya di luar negara kerana ia unik, eksotik dan di luar jangkaan,” kata Ekky.
“Penonton filem seram sentiasa mencari sesuatu yang belum diketahui.” – AFP