Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri koko perlu lonjakan lebih agresif

    KENINGAU, 1 SEPT – Industri koko Malaysia memerlukan lonjakan menerusi pendekatan lebih agresif termasuk menggalakkan penanamannya sebagai sumber kekayaan baharu, sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan industri tersebut.

    Ketika membuat gesaan itu, Pembantu Menteri Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis berkata ini berikutan potensi komoditi itu termasuk harganya yang stabil berbanding sawit dan getah selain terus menerima permintaan yang tetap.

    Bagaimanapun, katanya, industri koko tempatan kini berdepan masalah kekurangan pengeluaran biji koko yang boleh menjejaskan pembangunan hiliran sektor komoditi itu jika tiada langkah proaktif diambil bagi menanganinya.

    Malah, katanya, Malaysia pada masa ini terpaksa berharap kepada negara jiran khususnya Indonesia dan negara lain seperti Ivory Coast dan Ghana untuk memperolehi sumber bekalan biji koko bagi keperluan domestik.

    “Pada 2018 misalnya, Malaysia hanya mampu menghasilkan kira-kira 814 tan metrik biji koko berbanding keperluan pengisar tempatan yang berjumlah 344,488 tan metrik setahun.

    “Bagi mengatasi kemelut itu, Malaysia terpaksa mengimport sejumlah 344,674 tan metrik setahun daripada negara luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan ke-3 Tahun Gerakan Tanam Koko, baru-baru ini.

    Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr Ramle Kasin dan Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pembangunan LKM Mohd Zamri A. Ghani. Komoditi koko mula dibangunkan di Malaysia seawal tahun 1770an atau kira-kira 249 tahun lalu dan berkembang pesat sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

    Menurut Rasinin, sejak 1989, keluasan penanaman koko meningkat sehingga 415,000 hektar dan seterusnya meletakkan Malaysia antara pengeluar koko terbesar dunia. – Bernama

    Rasinin Koutis (dua, kanan) menunjukkan buah koko bermutu tinggi yang dihasilkan oleh Gerakan Tanam Koko (Gertak) sambil diperhatikan oleh Dr Ramlee Kasin (dua, kiri). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda