Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri kreatif berpotensi besar

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Berdasarkan statistik tenaga manusia di negara-negara maju, selain menyumbang antara satu hingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), industri kreatif secara umum juga membuka peluang pekerjaan yang luas.

    Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu berkata, industri kreatif akan menjadi primadona berdasarkan kepada khidmat tenaga berasaskan kreativiti tanpa memerlukan sumber alam.

    “Industri kreatif hanya menggunakan kekuatan daya fikir dan daya usaha manusia yang percuma tetapi menjanjikan keuntungan lebih tinggi,” kata beliau semasa majlis menandatangani perjanjian bersama 13 buah syarikat penaja Rancangan Realiti ‘Akulah Juara’ peringkat akhir di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar, pagi tadi.

    Tambah Haji Muhammad Suffian, kita perlu melihat industri seni atau secara luasnya industri kreatif sebagai penyumbang kepada bidang kesenian, kebudayaan dan juga perekonomian.

    “Ia dikukuhkan lagi dengan adanya sumber daya manusia yang berlimpah dan tidak mustahil negara kita dengan pendekatan menyeluruh akan dapat meneroka kelebihan ini.

    Gambar ramai para penaja, finalis, tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa ‘Akulah Juara.’
    Persembahan nyanyian daripada salah seorang finalis.

    “Insya-Allah mudah-mudahan masa akan datang, lebih ramai lagi mereka yang seperti Aziz Harun dan Jazz Hayat yang album mereka akan dapat diterbitkan melalui usaha-usaha kecil yang dapat memberikan impak yang besar,” ujar beliau.

    Pada majlis itu, pihak RTB diwakili oleh Haji Muhammad Suffian dan Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) RTB, Dayang Hajah Zalinar binti Haji Abdullah manakala 13 buah syarikat penaja diwakili oleh pengurus dan wakil syarikat masing-masing.

    Terdahulu, Pengarah RTB turut menjelaskan bahawa pertandingan ini pertama kali diungkayahkan oleh RTB dan berkonsepkan rancangan realiti dalam versi Brunei anjuran Bahagian Rancangan TV, RTB.

    “Dengan adanya pertandingan ini, ia akan memberi peluang kepada peminat seni nyanyian tempatan untuk menyerlahkan bakat masing-masing dan seterusnya bersaing bagi merebut gelaran juara,” ujar beliau.

    “Alhamdulillah pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peminat yang terdiri daripada golongan belia. Seramai 179 orang telah hadir pada sesi uji bakat selama tiga hari di RTB Sungai Akar pada 6 hingga 8 Julai yang lalu,” katanya.

    Syarikat-syarikat yang turut menyokong rancangan ini ialah McDonald’s Brunei; Intracorp Sdn Bhd; Little Umi Enterprise; ITPSS Sdn Bhd; HGKK LHS Co (Laneige Brunei Darussalam); Brunei River Cruise; GK Restaurant & Catering; JPCC Sdn Bhd; YMRM Brunei; Ardly Raman Couture; TLT Enterprise; Aiking Sdn Bhd dan Cityneon Displays and Construction Sdn Bhd.

    Peringkat akhir ‘Akulah Juara’ akan diadakan di Jerudong Park Amphitheatre dan akan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen RTB Aneka dan Rangkaian Pelangi, Radio Brunei pada 29 September, pukul 8 malam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda