SINGAPURA, 31 Mac – Industri maritim Asia dijangkakan lebih baik tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan antara dua dan empat peratus dalam permintaan ke atas penghantaran serta segmen pukal dan kapal tangki, kata Persatuan Perkapalan Singapura (SSA).
“Industri kontena belum pulih, namun kami sudah mendapati kebanyakan dagangan sudah mencatat untung yang lebih baik selepas mencatatkan kadar fret terendah pada 2016,” kata Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa SSA, René Piil Pedersen, dalam satu kenyataan di sini.
“Ini boleh menjurus kepada industri yang lebih mampan pada 2017, disokong oleh peningkatan aktiviti penyatuan. Dalam segmen pukal, wujud keyakinan, manakala program pembangunan baharu tahun depan akan menjadi penentu dalam segmen kapal tangki,” katanya.
Beliau juga berkata pendigitalan memberikan peluang yang besar bagi industri terbabit.
“Pendigitalan boleh menyediakan syarikat kemungkinan terlibat dengan pelanggan yang boleh mewujudkan lebih nilai untuk mereka, seperti Data Raya (Big Data) boleh digunakan untuk mengendalikan aset dengan lebih cekap.
“Dua tiga tahun lepas, anda akan melihat tempahan kontena mengambil masa dua jam, sedangkan hari ini, ia mengambil masa beberapa minit sahaja. Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, ia mungkin akan mengambil masa sesaat sahaja.
“Dengan tumpuan yang semakin meningkat ke atas e-dagang dan penyelesaian digital, PKS dan pengguna yang tidak dikaitkan secara langsung dalam rantaian bekalan global, kini bersambung.
“Ini memberikan syarikat peluang untuk memenuhi keperluan pengguna secara langsung dan cekap berbanding sebelum ini,” kata Pedersen.
Sementara itu, Peno-long Ketua Eksekutif (Pemba-ngunan), Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) Tan Beng Tee, menekankan pentingnya penggiat industri memantau masa hadapan, terutama ketika penggunaan teknologi yang semakin pesat.
“Kemunculan pendigitalan akan membantu meningkatkan proses dalam industri namun ia juga akan mengganggu cara anda menjalankan perniagaan.
“Dengan mengambil kira kedudukan itu, kita perlu bersedia dan mula berfikir tentang model perniagaan baharu yang akan timbul akibat pendigitalan dalam industri.
“Satu lagi bidang yang kita perlu mula memberi tumpuan ialah kemahiran tenaga kerja. Perkapalan merupakan industri tradisional dan berintensifkan dokumen. Ini tidak lagi timbul pada masa akan datang.
“Kemahiran baharu diperlukan dan kita perlu mula melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran merentas disiplin seperti celik IT dan analisis data,” katanya. – Bernama