Industri minyak dan gas kekal beroperasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Pengeluaran dan operasi dalam industri minyak dan gas negara tetap akan diteruskan meskipun terdapatnya kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan petugas dalam industri terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengesahkan perkara tersebut ketika menjawab soalan mengenai kelangsungan pengeluaran minyak dan gas semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dalam menangani penularan pandemik, industri itu telah melaksanakan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) masing-masing bagi memastikan keselamatan para pekerja dan pada masa yang sama, untuk memastikan operasi akan berterusan.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato berharap orang ramai dapat menghargai pengorbanan dan usaha petugas-petugas barisan hadapan dalam pelbagai industri seperti minyak dan gas, makanan dan minuman, logistik dan pengangkutan, telekomunikasi, keselamatan dan kesihatan dalam memastikan perkhidmatan dan industri akan terus dapat diberikan kepada orang ramai.

Beliau berkata seperti industri telekomunikasi, mereka masih menyediakan perkhidmatan pemasangan atau sambungan seperti home pass dan jalur lebar serta juga Penerbangan Diraja Brunei (RB) yang terus menyediakan perkhidmatan penerbangan sejak tahun lepas.

“Semua industri ini adalah amat penting. Ia tidak mudah untuk kita dan saya tahu ada yang memohon supaya semua dapat bekerja dari rumah. Ia adalah tidak mudah bagi semua orang untuk bekerja dari rumah,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa mesej yang ingin disampaikannya adalah bagi mereka yang boleh bekerja dari rumah supaya akan dapat bekerja dari rumah manakala itu, bagi industri-industri yang diperlukan (essential industry), kita harus memastikan bahawa operasi berkenaan terus berfungsi.

Kita harus menunjukkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan berkenaan dan mendoakan mereka sentiasa selamat dan sihat.