Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam merupakan hari yang sangat dinanti-nantikan oleh semua penduduk dan masyarakat di negara ini termasuklah para pelancong yang ingin mengambil kesempatan untuk sama-sama menyaksikan hari yang penuh bersejarah dan patriotik itu.
Menyentuh mengenai pelancongan, Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali mengongsikan bahawa industri pelancongan Brunei mencatatkan pertumbuhan tahun lalu apabila menyaksikan peningkatan 10 peratus bagi ketibaan pelancong ke negara ini.
Ia merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuklah pihak swasta dan kerajaan terutama sekali daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, yang telah mengusahakan kemudahan-kemudahan bagi kedatangan pelancong seperti kemudahan ‘Visa-on-Arrival’ dan kemudahan ‘multiple entry visas for passport holders’ bagi warganegara China yang datang ke negara ini beberapa tahun yang lalu.
Beliau berkata sedemikian apabila ditemui semasa latihan bersepadu/penuh Sambutan Hari Kebangsaan, di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.
Tambahnya lagi, “Pada masa ini, kita juga ada kemudahan visa bagi warganegara Turki untuk datang ke Negara Brunei Darussalam selama 30 hari dan juga yang kita terima pada masa ini ialah kemudahan visa kepada warganegara Rusia untuk datang ke Brunei selama 14 hari daripada tarikh mereka tiba ke negara ini.
“Ini merupakan peluang bagi kita untuk mengadakan perundingan bersama pihak kedutaan Rusia dan kita akan mengadakan kerjasama dari segi pertukaran ejen pelancongan di Negara Brunei Darussalam dengan ejen pelancongan daripada pihak Rusia untuk melihat peluang-peluang dari segi pakej-pakej menarik dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi utama bagi negara-negara berkenaan,” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, pihak Syarikat Penerbangan Diraja Brunei turut bekerjasama dengan pihak kementerian dalam mendatangkan beberapa penerbangan ke negara ini dan ini turut menyumbang sedikit sebanyak kepada pertumbuhan pelancong ke Negara Brunei Darussalam.
Awang Wardi menjelaskan lagi terdapat beberapa acara yang akan diadakan nanti di negara ini termasuk dua pertandingan golf antarabangsa iaitu Kejohanan Richard Mille yang akan diadakan pada 8 sehingga 10 Mac dan Pertandingan Golf Terbuka Wanita Brunei pada 17 sehingga 19 Mac nanti yang akan diadakan di The Empire Hotel & Country Club di samping Asia Enduro Series dan Festival Disember Brunei.
Beliau berharap dengan adanya acara-acara seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan jumlah pelancong dalam sama-sama menjadikan Brunei sebagai salah sebuah destinasi utama pelancongan pilihan.