Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Industri pelancongan perubatan Malaysia terus menunjukkan perkembangan yang positif dari tahun ke tahun di mana perkembangan industri berkenaan didorong oleh kewujudan sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti dunia, berpatutan dan mudah diakses.
Industri berkenaan telah menunjukkan perkembangan sebanyak 25 peratus pada 2016 iaitu mengumpul kira-kira RM1.15 bilion daripada hasil pendapatan hospital. Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam sebagai jiran terdekat bagi Malaysia, turut mencatatkan peningkatan dalam industri pelancongan perubatan ini.
Menurut Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), jumlah penduduk dan warga Brunei yang mendapatkan rawatan di pelbagai hospital di Malaysia telah meningkat daripada 701 orang pada 2011 kepada 1,356 orang pada 2016. Jumlah itu, menurut MHTC lagi adalah termasuk jumlah penduduk Brunei Darussalam yang berkhidmat dan penuntut yang melanjutkan pengajian mereka di Malaysia.
Dengan hasrat untuk memperkenalkan lagi pelbagai perkhidmatan, kemudahan dan pakej menarik yang ditawarkan dalam industri pelancongan perubatan di Malaysia, MHTC dengan kerjasama Pelancongan Malaysia di Brunei mengadakan sesi taklimat bagi pihak-pihak berkepentingan industri pelancongan dan ejen pelancongan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Sesi taklimat berkenaan dihadiri oleh ejen dan wakil syarikat pelancongan, wakil-wakil syarikat penerbangan dan wakil media di mana mereka diberikan penerangan serta pendedahan mengenai dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.


Turut hadir semasa sesi taklimat berkenaan ialah Pengarah Pelancongan Malaysia di Brunei, Haji Ibrahim Seddiqi bin Talib dan wakil daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.
Ketua Pemasaran MHTC, Yazmin Azman semasa taklimat berkenaan berkata penjagaan kesihatan Malaysia mempunyai kualiti yang tepat bagi mencapai tahap pelancongan perubatan antarabangsa dari segi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang, mudah diakses serta berpatutan dan disokong oleh pihak kerajaan dan komitmen daripada sektor penjagaan kesihatan swasta di mana ia mempunyai kesemua kualiti yang diperlukan untuk menjadikannya destinasi pelancongan perubatan pilihan.
Mengulas mengenai Brunei Darussalam, beliau berkata jumlah pengunjung dari Brunei yang berkunjung ke Malaysia untuk mendapatkan pelbagai rawatan menunjukkan peningkatan yang menggalakkan dan persamaan dari segi budaya di antara kedua-dua buah negara itu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang menarik bagi penduduk dan rakyat Brunei.
Brunei dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dan telah menubuhkan pelbagai kerjasama berhasil dalam pelbagai industri, tambahnya lagi.
Oleh itu, pihaknya sedang meneroka peluang untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan serta yakin dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang berpatutan, Malaysia mampu menjadi destinasi pilihan bagi masyarakat Brunei untuk mendapatkan rawatan. Pada masa yang sama, beliau juga berkata bahawa MHTC ingin untuk menjalinkan kerjasama aktif dengan hospital-hospital di Brunei bagi rujukan pesakit ke Malaysia dan juga ingin untuk mengenal pasti rakan kongsi berpotensi serta saluran pengedaran bagi pelbagai pakej pelancongan penjagaan kesihatan yang ditawarkan.