Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri penerbangan dijangka catat pertumbuhan lebih kukuh – Loke

    SEPANG, 5 JAN – Industri penerbangan Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh tahun ini, disokong oleh inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan sektor tersebut, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.

    Beliau berkata jangkaan peningkatan perjalanan domestik dan juga antarabangsa itu adalah hasil daripada langkah strategik kerajaan terutamanya kelonggaran keperluan visa bagi pelancong China dan India, yang akan menyokong sektor tersebut.

    “Melangkah ke 2024, kita menjangkakan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan kerana bukan sahaja sektor domestik akan terus berkembang maju, tetapi kita juga menjangkakan perjalanan antarabangsa yang tinggi.

    “Ini susulan langkah kerajaan, terutamanya dalam melonggarkan keperluan visa untuk pelancong warga China dan India,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman tawaran tambang rendah tetap AirAsia untuk perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

    Loke berkata peningkatan ketara kemasukan pelancong bukan hanya dari pasaran utama seperti China dan India, tetapi juga dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

    Beliau menjelaskan peningkatan perjalanan antara negara Asia ini sebagai perkara biasa, menjalin hubungan yang lebih baik antara negara di rantau ini, dengan Malaysia memiliki kelebihan.

    Walaupun mengakui akan kepentingan China dan India sebagai pasaran penting, beliau turut menyedari peningkatan perjalanan dan permintaan besar dari Korea Selatan dan Jepun, dengan Sabah dilihat sebagai sebagai destinasi kegemaran dalam kalangan pengembara Korea.

    Sementara itu Loke berkata dengan tumpuan meluas AirAsia terhadap pasaran Asia dan ketersambungan antara bandar sejak dua dekad lalu, kerajaan berhasrat untuk mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya Indonesia yang dikenal pasti sebagai pasaran utama untuk pembangunan selanjutnya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda