Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri perfileman Thailand melonjak naik

    BANGKOK, 20 JULAI – Thailand sedang mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi penggambaran antarabangsa utama apabila produksi filem asing menyumbang sebanyak 2.866 bilion baht kepada ekonomi negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025.

    Lonjakan itu, yang dipacu oleh insentif kerajaan yang menarik, meletakkan negara itu pada landasan tepat untuk mengatasi sasaran pendapatan tahunannya. Jurucakap Timbalan Kerajaan, Sasikarn Wattanachan mengesahkan Pejabat Filem Thailand di bawah Jabatan Pelancongan telah merekodkan sebanyak 279 penggambaran filem asing dari seluruh dunia antara 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

    Jumlah itu mewakili perbelanjaan sebenar, yang mengagihkan pendapatan ke pelbagai sektor, termasuk industri filem itu sendiri, pelancongan dan pelbagai perniagaan berkaitan. Selain pulangan kewangan langsung, kemasukan produksi antarabangsa turut memberikan promosi global yang amat berharga kepada Thailand, sekali gus menggalakkan pelancongan berasaskan filem.

    Empat negara teratas yang paling banyak menjalankan penggambaran di Thailand ialah India, Korea Selatan, Jepun dan China. Lokasi popular termasuk Bangkok, Pathum Thani dan Chonburi.

    Pejabat Filem Thailand kini menjangkakan jumlah keseluruhan pendapatan daripada produksi filem asing akan mencecah 10 bilion baht bagi tahun 2025, jauh mengatasi sasaran awal iaitu 7.5 bilion baht.

    Gambar Freepik

    “Tahun ini, beberapa filem blokbuster memilih Thailand sebagai lokasi penggambaran, antaranya Jurassic World dan White Lotus, dan kami menjangkakan lebih banyak produksi berminat terus datang ke Thailand,” kata Sasikarn.

    Salah satu insentif utama kejayaan tersebut ialah skim rebat yang menawarkan pengembalian sehingga 30 peratus daripada perbelanjaan produksi filem asing.

    Langkah itu direka menarik lebih ramai pembikin filem antarabangsa, sekali gus memberi rangsangan besar kepada ekonomi domestik.

    Manfaatnya turut dirasai secara meluas merentasi pelbagai sektor – daripada hotel dan restoran, penyedia perkhidmatan tempatan sehinggalah komuniti yang terlibat secara langsung dengan lokasi penggambaran – yang seterusnya merancakkan pelancongan dan memperkukuh imej Thailand di persada dunia. – ANN/The Nation

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda