DUBAI – Dari meja gantung di udara hingga ke ruang makan bawah laut, lebih 13,000 premis makanan dan minuman di Dubai berlumba-lumba menarik pelanggan dalam salah satu pasaran makanan paling tepu di dunia.
Restoran-restoran ini memenuhi pelbagai cita rasa dan bajet ada yang menyajikan beriani murah, manakala yang lain menawarkan hidangan mewah bertabur emas yang boleh dimakan.
Inilah antara strategi Dubai untuk bersaing dengan jiran-jirannya seperti Arab Saudi dan Qatar dalam menarik perbelanjaan pelancong dan setakat ini, Dubai mendahului. Dubai mempunyai bilangan restoran per kapita kedua tertinggi di dunia selepas Paris.
Namun, ledakan pesat ini mula menguji kemampuan model pertumbuhan ‘tanpa batasan’ yang dipegang bandar itu, sekali gus mencetuskan persoalan tentang sejauh mana Dubai mampu menampung cita-citanya sendiri.
PASARAN YANG PADAT DAN SENGIT
Persaingan di Dubai amat sengit – penampilan dan persembahan menjadi keutamaan.
“Zaman hidangan cuma sedap sahaja sudah berlalu,” kata Kym Barter, Pengurus Besar Atlantis The Palm, sebuah resort mewah di kepulauan buatan yang mempunyai lebih banyak bintang Michelin berbanding mana-mana tempat lain di Timur Tengah.
Namun memukau para pengulas makanan di media sosial yang ramai antara mereka memiliki jutaan pengikut belum cukup untuk menjamin kejayaan. Pemilik restoran perlu menangani kadar sewa yang tinggi dan memenuhi cita rasa pengguna yang pelbagai dan menuntut.
Dubai mempunyai kira-kira sembilan penduduk ekspatriat bagi setiap warganegara Emiriah. Sebahagian besar tenaga kerja sektor swasta terdiri daripada pekerja kontrak asing, dan hanya Kota Vatikan mempunyai kadar penduduk kelahiran luar yang lebih tinggi.
Pelancong pula dianggarkan melebihi bilangan penduduk tempatan dalam nisbah lima kepada satu, dan mereka membelanjakan wang dengan mewah. Pelawat ke Dubai membelanjakan purata lebih lima kali ganda berbanding mereka yang melancong ke Arab Saudi atau bahkan Amerika Syarikat, menurut perunding restoran antarabangsa Aaron Allen.
Dubai kini dilihat berada “di landasan yang betul” untuk menjadi ibu kota makanan dunia, kata Torsten Vildgaard, ketua cef FZN by Björn Frantzén sebuah restoran mewah yang mengenakan bayaran lebih AS$540 seorang dan berjaya meraih tiga bintang Michelin pada Mei lalu.
“Kita baru melihat permukaan awal potensi gastronomi di sini,” tambahnya.
Dengan setiap pembangunan bangunan pencakar langit dan hotel baharu, muncul pula deretan restoran baru yang bersaing untuk menarik pelanggan. Ribuan pekerja binaan yang memacu pembangunan ini juga memerlukan pilihan makanan mampu milik.
Namun pertumbuhan pesat ini, sebahagiannya didorong oleh tekanan pelabur ke atas rangkaian francais terbesar dunia untuk berkembang di Dubai, telah mencetuskan amaran daripada penganalisis tentang kemungkinan wujudnya ‘gelembung’.
“Kalau awda adalah syarikat tersenarai seperti Americana, apa yang boleh anda buat – berhenti buka restoran?” kata Allen, merujuk kepada pengendali francais seperti KFC dan Pizza Hut di rantau Teluk.
Perkembangan pesat industri restoran Dubai turut mencerminkan peralihan serantau yang menyaksikan negara-negara Teluk membelanjakan ratusan bilion dolar untuk membina destinasi pelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi yang selama ini bergantung kepada hasil minyak. Arab Saudi, misalnya, sedang membangunkan projek berisiko tinggi bernilai AS$500 bilion, sebuah bandar futuristik lurus bernama Neom.
Namun di rantau majoriti Muslim, UAE dilihat mengambil langkah kompromi besar seperti melonggarkan peraturan alkohol untuk menyokong pub, hiburan malam dan pelbagai reformasi sosial lain.
KOS TINGGI DAN KADAR PENUTUPAN YANG MEMBIMBANGKAN
Pembangunan pesat ini datang dengan harga yang tinggi. Pemain industri berkata kadar kegagalan restoran di Dubai adalah tinggi, walaupun pihak berkuasa tidak mengumumkan statistik rasmi. Di kawasan tumpuan seperti pusat bandar, sewa tahunan boleh melebihi AS$100 sekaki persegi – setanding dengan kota termahal dunia.
Namun begitu, hampir 1,200 lesen restoran baharu dikeluarkan tahun lalu, menurut Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai, yang enggan memberi komen lanjut.
Meja kosong pada waktu puncak menjadi pemandangan biasa walaupun di lokasi utama.
Antara puncanya, kata pengurus-pengurus restoran, ialah kesesakan lalu lintas yang teruk menyebabkan pelanggan enggan keluar.
“Saya kadang-kadang fikir, ‘Patutkah saya masuk ke restoran sekarang, sebab nanti saya akan terperangkap dalam trafik?’” kata Waseem Abdul Hameed, Pengurus Operasi di Ravi – restoran milik keluarga dari Pakistan yang terkenal dengan kerjasama kasut Adidas dan liputan TV Anthony Bourdain pada 2010.
Menurutnya, beliau mengenali pengusaha restoran yang terpaksa menutup perniagaan, dan ramai yang kini terpaksa bergantung kepada margin keuntungan yang kecil dan aplikasi penghantaran makanan.
Permintaan tinggi itu menyaksikan ratusan penghantar makanan bermotosikal bergegas dalam kesesakan, dengan perlindungan yang minimum dan masa penghantaran yang ketat. Akhbar tempatan Khaleej Times melaporkan 17 penghantar makanan maut dalam kemalangan di Dubai tahun lalu.
“Pengiraan industri restoran di Dubai tidak seimbang,” kata Allen, merujuk kepada kos operasi yang meningkat lebih dua kali ganda berbanding hasil jualan sejak krisis kewangan 2009 yang hampir melumpuhkan ekonomi Dubai. “Terlalu ramai usahawan di Dubai ada ‘terlalu banyak wang’ dan tidak tahu apa lagi untuk dilakukan – selain membuka restoran,” simpulnya. – AP