Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri RV AS ancam hutan Indonesia

    JAKARTA, 20 OGOS – Permintaan kayu tropika daripada beberapa jenama kenderaan rekreasi (RV) terkemuka Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menjadi punca kepada aktiviti penebangan hutan di pulau Borneo, Indonesia, yang menempatkan antara hutan hujan terakhir di Asia, menurut siasatan terbaharu sebuah NGO alam sekitar.

    Industri kenderaan rekreasi kini menjadi pengguna terbesar kayu tropika di Amerika Syarikat, kata NGO berpangkalan di United Kingdom, Earthsight dan NGO Indonesia, Auriga Nusantara, dalam satu laporan yang diterbitkan kelmarin.

    Mereka berkata, terdapat bukti menunjukkan helaian papan lapis tropika ‘lauan’ yang ditemui di Indonesia kemungkinan digunakan untuk lantai, dinding dan siling RV yang dihasilkan oleh jenama utama seperti Jayco, Winnebago dan Forest River.

    “Pemilik RV yang mencintai alam semula jadi pasti terkejut apabila mengetahui hobi mereka berisiko memusnahkan hutan hujan,” kata pengarah Earthsight, Sam Lawson, dalam satu kenyataan media.

    Indonesia turut mencatatkan kadar penebangan hutan tertinggi di dunia yang berkait dengan perlombongan, pertanian dan pembalakan dan dituduh membenarkan syarikat beroperasi di Borneo dengan pengawasan yang minimum.

    Habitat haiwan seperti orangutan telah terjejas akibat aktiviti penebangan hutan di Hutan Pulau Borneo, Indonesia pada 20 Ogos. – AFP

    Pulau Borneo memiliki salah satu kawasan hutan hujan terbesar di dunia dan menempatkan haiwan seperti orangutan, monyet proboscis, harimau dahan, kelawar dan badak sumbu.

    NGO itu berkata, sebahagian besar habitat orangutan di Borneo didapati telah ditebang bagi memberi laluan kepada ladang kayu cepat tumbuh.

    Sebuah syarikat papan lapis Indonesia, PT Kayu Lapis Asli Murni, turut memperoleh kayu terutamanya dari hutan hujan tersebut dan separuh daripadanya dieksport ke firma AS, MJB Wood dan Tumac Lumber pada 2024, menurut laporan itu.

    NGO itu berkata, hal itu bermakna kebanyakan kayu tropika Indonesia telah digunakan dalam rantaian bekalan RV di AS.

    Namun, syarikat-syarikat tersebut tidak mahu memberi sebarang maklum balas mengenai hal itu, menurut laporan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda