Tuesday, April 8, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri tekstil pakaian terjejas, pembeli AS henti tempahan

    DHAKA, 7 APRIL – Pengilang utama pakaian Bangladesh hari ini memaklumkan bahawa pembeli dari Amerika Syarikat (AS) telah mula menghentikan tempahan susulan kenaikan mendadak tarif import oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, sekali gus mengancam eksport utama negara itu.

    Bangladesh merupakan pengeluar pakaian kedua terbesar di dunia, dengan sektor tekstil dan pakaian menyumbang kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

    Bagaimanapun, industri tersebut kini berdepan tekanan besar selepas tarif AS terhadap produk kapas Bangladesh dinaikkan daripada 16 peratus kepada 37 peratus, berkuat kuasa Rabu lalu.

    Pengarah Urusan Essensor Footwear and Leather Products, Mohammad Mushfiqur Rahman berkata beliau menerima permintaan daripada pelanggan tetap dari AS supaya menghentikan penghantaran.

    “Pembeli minta kami hentikan penghantaran beg, tali pinggang dan dompet bernilai AS$300,000. Dia adalah pelanggan tetap kami sejak sekian lama dan kini kami sama-sama terperangkap dalam ketidaktentuan ini,” katanya.

    Gambar Envato

    Lazimnya, syarikat tersebut mengeksport sekitar AS$100,000 sebulan ke pasaran AS.

    Akhbar tempatan Prothom Alo turut melaporkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Wikitex-BD, AKM Saifur Rahman, yang menerima permintaan serupa bagi menangguhkan penghantaran pakaian bernilai AS$150,000.

    “Pelanggan kami dari AS kata mereka tak boleh tanggung kos tambahan itu, jadi mereka mahu kami turunkan harga,” ujarnya.

    Pada tahun lalu, Bangladesh mengeksport kira-kira AS$8.4 bilion barangan ke AS, dengan lebih AS$7.34 bilion daripadanya datang daripada sektor pakaian siap pakai.

    Pentadbir yang dilantik kerajaan bagi Persatuan Pengeluar dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA), Md Anwar Hossain, turut mengutus surat rasmi kepada pembeli dari AS memohon persefahaman. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda